ARAU, 16 April-Istana Arau kini bersiap sedia bagi menyambut tetamu diraja sempena Majlis Santapan Diraja yang dijadualkan malam esok (Khamis).
Majlis Santapan Diraja itu adalah bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sendiri berkenan berangkat meninjau persiapan akhir menjelang majlis tersebut, yang merupakan acara kemuncak Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda di takhta negeri Perlis.
Turut mengiringi Baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Sepanjang lawatan tersebut, Duli-Duli Tuanku berkenan menyaksikan raptai penuh bagi memastikan kelancaran majlis yang bakal berlangsung.
Turut serta ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan persiapan bagi majlis bersejarah itu.