ARAU, 13 Oktober- Penglibatan peserta antarabangsa dalam aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat mampu memperkukuh hubungan persahabatan, memupuk persefahaman dan meningkatkan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah aktiviti seperti gotong-royong, rewang dan kenduri kampung memberi peluang kepada peserta menghayati nilai kerjasama, kemurahan hati serta semangat bermasyarakat yang menjadi identiti rakyat Perlis.
Baginda bertitah pengalaman bersama komuniti setempat menjadikan diplomasi budaya lebih bermakna kerana hubungan persahabatan dibina menerusi penglibatan dan pengalaman sebenar, bukan sekadar pertemuan formal.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sahabat Antarabangsa Perlis dan UiTM (SAPA) 2026 di perkarangan Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah, di sini, pagi ini.
Program anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis itu berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober dan merupakan antara pengisian utama UiTM–Global University Network (UGUN) Summer Camp 2026.
SAPA 2026 turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai budaya dan warisan tempatan, tarikan ekopelancongan Perlis serta amalan pertanian moden.
UiTM Cawangan Perlis berharap program itu dapat menyemai semangat kebersamaan, sikap saling menghormati dan persahabatan merentas negara, selain memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat serta rakan strategik dalam dan luar negara.