Seluruh kerabat berbaiah taat setia kepada Raja Perlis

ARAU: ‘Di belakang Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, seluruh usrah kerabat DiRaja Perlis, kekal utuh dan teguh berdiri, memahat baiah taat setia nan tidak berbelah bagi, dengan doa yang tiada henti’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mewakili Usrah Kerabat Diraja Negeri Perlis di Istiadat Penganugerahan Darjah Dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis Sempena Hari Ulangtahun Keputeraan Ke-82 DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balairongseri Istana Arau hari ini.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda menambah, ‘Harapan yang bersemi agar seisi negeri yang tercinta ini, menjadi bumi yang dilimpahi dengan sinar kebahagiaan, mendamaikan, serta menenangkan jiwa, aman makmur, dan harmoni bersemi selamanya’.

‘Impiannya, Rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan menjadi wadah utama dengan tata kelola dan tadbir urus yang penuh amanah dan integriti berpaksikan syura merentasi perbezaan, berfokus kepada jalan solusi, hikmah, cekap, pantas dan inklusif, demi manfaat membela nusa dan nasib rakyat jelata’.

‘Aspek transformasi, ekonomi, prasarana serta kemakmuran negeri dapat diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama yang jelas, perancangan yang komprehensif, serta dinilai dari masa ke masa agar mencapai objektif seperti yang dihasratkan’.

‘InshaAllah, segalanya kehendak yang terpatri kukuh ini berupaya dizahirkan dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Berkat naungan kasih dan wibawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta iringan doa dan tawakal yang tidak pernah kunjung padam ke hadrat Ilahi segala impian akan menjadi nyata’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menutup titah dengan ungkapan, ‘Agama diperkasakan, bangsa dipersatukan, adat dan adab dijulang tinggi, ilmu dan nilai murni disemai rapi. Kerana sesungguhnya – “Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju.”.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content