Semangat luar biasa Tuanku Lailatul Shahreen

KUALA LANGAT: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif apabila menyertai Spartan Malaysia 2025 yang berlangsung di Gamuda Cove di sini, hujung minggu lalu.

Pada usia 55 tahun, Tuanku Lailatul Shahreen terus menunjukkan semangat luar biasa apabila menamatkan cabaran sukan lasak itu yang menuntut ketahanan fizikal dan mental tinggi sekali gus meneruskan tradisi penyertaan baginda sejak kali pertama menyertai acara itu pada 2016.

Dikenali dengan minat mendalam terhadap kecergasan dan gaya hidup sihat, baginda menegaskan bahawa Spartan Race bukan sekadar pertandingan, sebaliknya ujian terhadap kekuatan minda dan watak seseorang.

“Spartan Race istimewa kerana ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ujian watak. Setiap perlumbaan memaksa kita keluar daripada zon selesa, dan setiap kali menamatkannya, kita menjadi lebih kuat,” titah baginda.

Menolak tanggapan bahawa faktor usia boleh membataskan keupayaan diri, Tuanku Lailatul Shahreen menegaskan, semangat dan keinginan untuk mencabar kemampuan adalah kunci untuk kekal berdaya saing.

“Saya suka mencabar diri dan membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Kecergasan memberi tenaga dan kekuatan minda. Saya harap perjalanan ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk mula melangkah, tidak kira usia mereka,” titah baginda lagi.

Mengulas mengenai cabaran paling sukar dalam perlumbaan berkenaan, baginda menyebut halangan seperti Sandbags, Slip Wall, The Bender, Tyrolean Traverse dan Stairway to Sparta antara yang benar-benar menguji daya tahan fizikal.

“Dalam Spartan, anda tidak perlu sempurna, cukup sekadar memberi yang terbaik. Kadang-kadang kita gagal, kadang-kadang berjaya, tetapi setiap kali, kita pasti menamatkannya dengan lebih kuat daripada ketika bermula,” titah baginda.

Tuanku Lailatul Shahreen turut menekankan bahawa keseimbangan antara latihan fizikal dan ketabahan mental menjadi asas kejayaan dalam acara lasak seperti itu.

“Spartan bukan semata-mata tentang otot, ia lebih kepada kekuatan minda. Kita terus melangkah walaupun keletihan, dan itulah yang menjadikan saat menamatkan perlumbaan begitu bermakna,” jelas baginda.

Baginda turut melihat penganjuran Spartan Malaysia sebagai wadah penting memupuk semangat perpaduan rakyat melalui sukan.

“Anda akan lihat rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang saling memberi sokongan. Spartan mengajar nilai kerjasama, kerendahan hati dan ketabahan, nilai-nilai yang melangkaui sekadar perlumbaan,” titah baginda.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.