Oleh: Sholina Osman
21 MEI 2026
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa setiap individu perlu mempunyai visi dan matlamat dalam kehidupan walaupun bermula dengan perkara kecil, kerana visi merupakan panduan penting dalam menentukan arah tuju dan hala kehidupan seseorang.
Menurut Baginda, visi merupakan panduan penting yang memberi hala tuju dan matlamat yang jelas dalam kehidupan. Individu yang mempunyai visi akan sentiasa terdorong untuk berusaha bersungguh-sungguh, memperbaiki diri serta mencapai kejayaan yang diimpikan.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah bahawa negeri Perlis sentiasa mengalu-alukan kehadiran para pelawat untuk terus menikmati keindahan, keharmonian dan keunikan negeri ini yang terkenal dengan suasana aman serta umat yang penuh mesra.
MAJLIS SANTAPAN NEGERI
Demikian titah Tuanku Raja ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Negeri sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83 di Dewan Bankuasi, Istana Arau, Ahad lalu.
Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
ACARA PEMOTONGAN KEK
Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan acara pemotongan kek Hari Keputeraan Baginda sambil disaksikan oleh seluruh kerabat diraja serta para tetamu yang hadir termasuklah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Seri Malek Razak Sulaiman, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Tuanku Raja turut menzahirkan penghargaan kepada para tetamu dari luar Perlis dan luar negara yang hadir memeriahkan sambutan berkenaan serta berharap mereka membawa pulang kenangan indah sepanjang berada di negeri ini. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia