Sistem pendidikan di Perlis perlu terus dibangunkan dengan penuh kesungguhan – Raja Muda

Sistem pendidikan di Perlis perlu terus dibangunkan dengan penuh kesungguhan – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
2 JUN 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar sistem pendidikan di negeri Perlis terus dibangunkan dengan penuh kesungguhan dan komitmen yang setara dengan perkembangan arus perdana.

Baginda menegaskan bahawa fokus agenda pendidikan negeri tidak lagi boleh terhad kepada penguasaan literasi asas semata-mata.

Sebaliknya, tumpuan strategik harus diperluaskan kepada pengukuhan institusi teknikal, politeknik, dan universiti tempatan bagi melengkapkan umat Perlis dengan asas teori yang mantap serta keupayaan praktikal yang tinggi demi memenuhi standard industri semasa.

PERALIHAN LANDSKAP DRASTIK

Menurut Tuanku Raja Muda, peralihan landskap ekonomi menuntut perubahan drastik di mana kebergantungan kepada kemahiran asas tidak lagi mencukupi untuk menjamin kebolehpasaran generasi muda Perlis.

Oleh itu, institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti perlu diletakkan sebagai paksi utama bagi melahirkan modal insan yang kompeten, berdaya saing, dan mempunyai mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

Bagi merealisasikan transformasi ini, baginda menyeru agar semua pihak berkepentingan termasuk sektor industri dan komuniti bergerak sederap dalam membina ekosistem pendidikan yang mampan demi masa depan negeri Perlis yang makmur.

PROGRAM MAIPs PEDULI

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Sempering, dekat Kangar baru-baru ini.

Program kayuhan amal ini bukan sekadar aktiviti riadah, bahkan menjadi medium mendekati rakyat serta menyantuni golongan yang memerlukan secara lebih dekat dan berterusan serta akan terus diperkasakan sebagai manifestasi keprihatinan MAIPs dalam memastikan kebajikan umat Perlis sentiasa diberikan perhatian tanpa mengira latar belakang.

Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima terpilih.

EDISI KALI INI

Penerima bantuan pada edisi kali ini ialah Azmeerizi Mahmun, 47, dari Jalan Santan, Kampung Sempering, Aidihermi Abdul Samat, 49, dari Kampung Masjid Lama Sempering, serta Azizan Hamid, 65, dari Kampung Sempering.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa mengadakan lawatan ke The Kitchen Studio Event Space yang terletak di Jalan Santan.

The Kitchen Studio Event Space merupakan dewan acara tertutup serbaguna yang dikenali sebagai ruang acara berkonsepkan studio pertama di negeri ini.

Lokasi tersebut menampilkan reka bentuk moden dan selesa dengan elemen hiasan dinding bata ikonik yang menjadikannya antara pilihan popular bagi pelbagai program komuniti serta korporat berskala kecil hingga sederhana.

BAGI PENGANJURAN MAJLIS

Premis berkenaan sesuai digunakan bagi penganjuran majlis akad nikah, resepsi perkahwinan, majlis aqiqah, sambutan hari lahir dan perhimpunan keluarga.

Selain itu, ia turut menjadi pilihan untuk seminar perniagaan, mesyuarat rasmi, majlis makan malam tahunan serta program universiti.

Kemudahan dewan tertutup sepenuhnya yang dilengkapi pendingin hawa turut memberikan keselesaan kepada para pengunjung di samping mengelakkan gangguan cuaca seperti hujan dan panas terik. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.