Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian penubuhan Hub Digital Showcase di Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, di sini, yang menjadi simbol komitmen berterusan sekolah itu dalam memperkasa pendidikan abad ke-21 menerusi integrasi digital secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Keberangkatan baginda sempena program MAIPs Peduli Khas itu disambut Guru Besar SK Oran, Tengku Hazleen Tengku Azman.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Haji Che Rasaidi Che Yob.
SK Oran terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju pendidikan digital apabila mencatat pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan menerusi inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi.
Hub Digital Showcase berkenaan berfungsi sebagai ruang pameran interaktif yang memaparkan pelaksanaan teknologi digital dalam bilik darjah, sekali gus menjadi pusat rujukan kepada sekolah lain serta pelawat untuk meneroka amalan terbaik pendidikan digital.
Ruang itu direka secara profesional berkonsepkan galeri terbuka, lengkap dengan laluan tengah yang memudahkan pergerakan lawatan, pembentangan dan sesi perkongsian ilmu.
Paparan maklumat seperti gegantung, poster infografik dan kod QR pula disusun secara strategik bagi mengetengahkan program digital sekolah, pencapaian murid serta guru, selain analisis data dan impak PdP.
Selain itu, zon demonstrasi teknologi turut disediakan menerusi susunan meja interaktif yang membolehkan pelawat menyaksikan secara langsung penggunaan peralatan digital, projek murid serta pelaksanaan aktiviti berasaskan STEM dan inovasi.
Kemudahan itu juga dilengkapi skrin paparan digital, ruang pembentangan khas serta susun atur menyerupai pameran korporat, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik, moden dan profesional.
Elemen Smart Classroom turut diterapkan melalui pendekatan pembelajaran berpusatkan murid dengan susun atur fleksibel yang menggalakkan kolaborasi serta aktiviti interaktif.
Persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berteraskan tema digital itu bukan sahaja mewujudkan suasana pembelajaran abad ke-21, malah merangsang kreativiti serta semangat eksplorasi dalam kalangan murid.
Inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan SK Oran dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital di negeri ini, di samping menyokong aspirasi melahirkan generasi celik teknologi, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan berkenaan, SK Oran turut tersenarai sebagai calon World’s Best School Prizes 2026, iaitu anugerah berprestij bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf sekolah-sekolah cemerlang di seluruh dunia.
Sekolah itu juga berhasrat untuk diiktiraf sebagai Google Reference School, sekali gus berpotensi menjadi antara sekolah perintis terawal di Malaysia dalam memperkasa pendidikan digital, inovasi PdP dan penggunaan teknologi secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Last updated: 4/24/2026