KANGAR, 14 April 2019 (Ahad) – Para sukarelawan tidak kira dalam bidang apa sekalipun yang mereka ceburi harus sentiasa bersemangat, ikhlas, kreatif dan bersikap proaktif selain menguasai media massa, mempertingkatkan ilmu pengetahuan, teknologi maklumat dan sebagainya supaya lebih bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mereka juga hendaklah berminda terbuka serta prihatin terhadap isu-isu dan perkembangan semasa dunia bagi membantu dalam merangka dan mengagendakan sesuatu program yang lebih memberi impak dan bersesuaian dengan situasi semasa.
Demikian titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Konvensyen Sukarelawan Tahun 2019’ yang dianjurkan oleh One Centre Malaysia Perlis’ di pekarangan pejabat mereka di sini, semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis, Zamri Vinodth.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr. Hazman Hassan.
Menyentuh mengenai sukarelawan One Centre Malaysia Perlis, baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs memuji mereka yang terlibat kerana turut bersama-sama melaksankan tanggungjawab dalam berdakwah, mempromosikan kehidupan yang harmoni serta menyampaikan mesej indah berkaitan Islam kepada masyarakat yang berbilang kaum dan budaya di negeri dan negara ini dengan aktif sekali.
Malah, mereka juga telah berjaya memberikan suatu ‘aura’ dan imej yang positif kepada masyarakat dan membuktikan bahawa golongan belia juga mampu membawa tugas dakwah serta mempunyai peranan yang besar di dalam masyarakat melalui aktiviti-aktiviti keilmuan dan kemasyarakatan yang dijalankan, titah baginda.
Untuk rekod, sejak diwujudkan dalam tahun 2017, organisasi ini telah berjaya menarik seramai 180 orang sukarelawan di seluruh negara dan melaksanakan 143 program, mereka berhasrat untuk menjayakan 200 program sepanjang tahun 2019 ini.
Tarikh kemaskini: 3/6/2025