Alor Setar: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di sini hari ini, bagi menghadiri Majlis Santapan Diraja yang akan diadakan di Istana Arau, Perlis malam ini, bersempena dengan sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Baginda dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dengan pesawat Royal Brunei pada 2.45 petang.
Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah disambut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Syarif Bendahara Perlis Datuk Seri Diraja Syed Badaruddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei ialah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Sultan Hassanal Bolkiah kemudian berjalan melepasi Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Ke-6, Rejimen Askar Melayu Diraja (6RAMD), Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra.
Pada 28 Januari lalu, Sultan Hassanal Bolkiah menerima menghadap Tengku Syarif Bendahara bagi Istiadat Persembahan Warkah Persilaan sambutan Jubli Perak itu di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei.
Majlis Santapan Diraja dijadualkan berlangsung pada 8 malam ini yang adalah acara utama bagi sambutan Jubli Perak bersempena dengan 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Raja Perlis.
Sambutan Jubli Perak itu berlangsung selama setahun hingga April tahun depan dengan pelbagai acara termasuk penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 pada 27 April hingga 2 Mei ini.
Majlis Perasmian Mercu Tanda Bulatan Padang Besar juga akan diadakan yang bakal disempurnakan Raja Perlis pada 24 April selain Persembahan Kesenian dan Orkestra Diraja pada November.