TAHUN MELAWAT PERLIS DIPROMOSI DI GENEVA, PERKUKUH AGENDA PELANCONGAN ANTARABANGSA

TAHUN MELAWAT PERLIS DIPROMOSI DI GENEVA, PERKUKUH AGENDA PELANCONGAN ANTARABANGSA

25 Februari 2026.
Geneva, Switzerland

Perlis bakal menyaksikan kemeriahan pelbagai program dan acara pelancongan menarik pada bulan Mac dan April yang akan datang ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Rangkaian acara yang disusun secara strategik ini merangkumi segmen keagamaan, pertanian, kesenian, sukan serta program komuniti yang diyakini mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi tempatan.

Dalam bulan Mac, suasana Ramadan akan diserikan dengan penganjuran pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan. Antaranya Program Raudhatul Iktikaf pada 10 hingga 20 Mac 2026, Majlis Rukyah Hilal Syawal pada 18 Mac 2026, Program Jom Ramadan di Perlis dari 19 hingga 20 Mac 2026, serta Solat Aidilfitri di Perkarangan Dataran Istiadat Istana Arau jika cuaca mengizinkan pada 1 Syawal nanti.

Penganjuran program-program ini bukan sahaja memperkukuh nilai spiritual dalam kalangan masyarakat, malah memberi peluang kepada pelancong untuk merasai sendiri keindahan serta kemeriahan sambutan Ramadan dan Aidilfitri di Perlis dalam suasana penuh harmoni.

Memasuki April, kalendar pelancongan terus rancak dengan penganjuran Perlis Mango Agriculture Fest pada 4 hingga 5 April 2026 yang mengetengahkan keunikan mangga Harumanis serta pelbagai produk agro tempatan berkualiti.

Seterusnya, Perlis Agrofest Tahun 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 26 April 2026 berperanan sebagai platform komprehensif dalam mempromosikan sektor pertanian, penternakan dan industri asas tani negeri.

Pada masa yang sama, Perlis International Marathon (PIM) 2026 bakal berlangsung pada 25 April 2026 dijangka menarik penyertaan pelari dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

Turut memeriahkan bulan April ialah Konsert Orkestra Diraja, Perkampungan Sunnah, Pesta Taman Cahaya, dan Festival Kopi yang menambah kepelbagaian tarikan kepada pengunjung.

Demikian menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena pelancaran Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda-anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama ialah Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman, serta Timbalan Wakil Tetap Malaysia merangkap Menteri Penasihat, Suraya Ahmad Pauzi.

Promosi Masakan Perlis ini dianjurkan bersama-sama Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Yayasan Harmoni serta Duwan Easy Eat.

Datuk Nadzirah memaklumkan bahawa Majlis Rumah Terbuka bersama diaspora Malaysia dan Wakil-Wakil Tetap serta Duta Besar asing ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva akan diadakan untuk meraikan ketibaan Syawal. Semasa program tersebut, promosi makanan dan pelancongan ke Malaysia akan diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di mana juadah kurma daging ‘Ready To Eat’ dari negeri Perlis ini akan turut diperkenalkan. Hidangan warisan negeri Perlis ini akan diketengahkan sebagai antara ikon kulinari yang diangkat ke pentas antarabangsa, memperlihatkan keunikan cita rasa tradisional negeri ini kepada khalayak global.

Menyentuh mengenai aktiviti sepanjang dua bulan ini pula, beliau menerangkan bahawa sempena bulan Ramadan ini, Pejabat beliau yang beroperasi di International Centre Cointrin (ICC), Geneva telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan solat tarawih bersama-sama para pegawai dan ahli keluarga Malawakil Geneva pada 21 Februari 2026.

Di samping Majis berbuka puasa tersebut, Persatuan Wanita Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Geneva (PERWAKILAN Geneva) akan menganjurkan Program Tadarrus al-Quran untuk mengimarahkan lagi bulan yang mulia ini.

Tambah beliau, ‘Memandangkan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa turut jatuh pada bulan Februari, Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva turut mengadakan program pengenalan kepada Bahasa Melayu kepada murid-murid tempatan’.

Foto Kredit :
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.