Teknologi digital perlu diguna untuk pelihara adat istiadat – Raja Muda Perlis

KANGAR: Teknologi digital perlu dimanfaatkan dalam usaha pemeliharaan adat istiadat. Terdapat keperluan untuk mendigitalkan maklumat berkaitan adat istiadat, sama ada dalam bentuk arkib dalam talian, dokumentari, atau platform media sosial yang boleh diakses oleh masyarakat umum, khususnya golongan muda.

Pihak-pihak berkaitan, termasuk institusi pendidikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan pemimpin masyarakat disarankan untuk turut bersama dalam usaha memastikan adat istiadat kita terus terpelihara dan dihormati. Usaha ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan kejayaannya.

Ingatlah bahawa adat istiadat adalah cerminan jati diri dan maruah bangsa. Jika ia diperkukuh dan diamalkan dengan penuh kesedaran, maka warisan ini akan terus hidup dan menjadi kebanggaan generasi mendatang.

Marilah kita bersama-sama menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap warisan nenek moyang kita.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan MAIPs Peduli berjumlah RM105,000 yang berlangsung di Masjid Janatul Naim, Beseri Sungai Paya baru-baru ini.

Berangkat sama islah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai inisiatif untuk meringankan beban serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini, berdasarkan kariah masing-masing.

Baginda, selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 75 orang anak kariah dari Beseri Sungai Paya dan 75 orang lagi anak kariah dari Kampung Darat.

Setiap asnaf terpilih menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma, ceramah kesedaran daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta pengisian rohani bertajuk ‘Bangun Jiwa Asnaf’ yang disampaikan oleh pihak MAIPs.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content