Tuanku Syed Faizuddin Putra diraikan dalam Takrim 25 Tahun Pemasyhuran Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
3 OGOS 2025

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis diraikan dalam Takrim 25 Tahun Pemasyhuran sebagai Raja Muda Perlis, yang berlangsung di Mess Pegawai Kanan PDRM, Jalan Raja Muda, Kangar, bersempena Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Agama Islam Perlis 2026-2030.

Kenyataan media MAIPs memaklumkan majlis ini menjadi lambang penghargaan tertinggi atas dedikasi dan jasa baginda selama dua dekad setengah, yang tidak pernah luntur dalam membimbing umat, memartabatkan agama, dan menyantuni rakyat Perlis.

Istiadat rasmi pelantikan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis diadakan pada 12 Oktober 2000 di Balairong Seri, Istana Arau, setelah ayahanda baginda, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 16 April tahun yang sama.

Sejak itu, baginda menggalas amanah sebagai pewaris takhta negeri Perlis dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan tanggungjawab utama untuk membantu dan menasihati Tuanku Raja Perlis dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Perlis.

AGENDA PEMBANGUNAN AGAMA

Sepanjang 25 tahun kepimpinan, Tuanku Raja Muda memainkan peranan yang amat signifikan dalam mendepani agenda pembangunan agama, sosial dan ekonomi ummah.

Baginda memacu transformasi MAIPs dengan memperkukuh pengurusan zakat dan wakaf secara bersepadu, mengangkat masjid sebagai pusat komuniti dan kesejahteraan kariah, serta membangunkan pelbagai program kebajikan dan pemberdayaan ekonomi asnaf.

Di bawah kepimpinan baginda, MAIPs muncul sebagai institusi agama negeri yang progresif dan berwibawa, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.

Peranan baginda turut terserlah di persada global melalui misi kemanusiaan, kerjasama pendidikan, dan hubungan diplomasi agama.

Baru-baru ini Tuanku Raja Muda memimpin inisiatif MAIPs dalam misi kemanusiaan di Kenya dan Rwanda, selain menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan Islam antarabangsa untuk memperkenalkan UniSIRAJ dan mempromosikan nilai Islam yang harmoni dan berperikemanusiaan.

MENJADI LAMBANG ISTANA

Kepimpinan baginda menjadi lambang istana yang dekat di hati rakyat, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh dalam membangunkan negeri Perlis.

Sebagai simbol penghormatan, majlis ini turut menampilkan “Ungkap Kata Puji Mahkota – حملة المدحِ”, sebuah persembahan puisi tiga bahasa yang memancarkan doa, kesetiaan dan penghargaan atas perjalanan kepimpinan baginda.

Persembahan ini disusun oleh Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, dengan penyelidikan dan arkib diketuai oleh Dr. Hazman Hassan, Timbalan Yang Dipertua MAIPs, bersama dukungan Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Profesor Madya Dr. Mohd Akram Datuk Dahaman @ Dahlan dan Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.

Karya ini menjadi simbol penghormatan yang mendalam kepada seorang Raja Muda yang berbakti tanpa mengenal jemu.

Dalam titah sempena muzakarah, Tuanku Raja Muda menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hala tuju hal ehwal agama Islam Perlis bagi tempoh 2026–2030 melalui pendekatan bersepadu, berimpak dan penuh keberkatan, agar Perlis kekal sebagai negeri yang harmoni, berilmu dan sejahtera.

Majlis Takrim ini bukan sahaja mengimbau perjalanan 25 tahun kepimpinan baginda, malah menjadi manifestasi ikrar untuk meneruskan perjuangan berasaskan keberkatan, keadilan dan kesejahteraan ummah, seiring doa agar kepimpinan baginda sentiasa diberkati Allah SWT. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content