TVET pemangkin modal insan berkemahiran tinggi hadapi cabaran masa depan – Raja Perlis

TVET pemangkin modal insan berkemahiran tinggi hadapi cabaran masa depan – Raja Perlis

PAUH PUTRA, 3 Ogos – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi tonggak penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah inovasi bukan lagi satu pilihan dalam dunia yang sentiasa berubah, sebaliknya menjadi asas kepada kemajuan serta daya saing negara.

Menurut baginda, perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan pendigitalan telah mengubah landskap pekerjaan serta industri, sekali gus menuntut graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa.

“Saya berharap budaya inovasi akan terus dipupuk dalam kalangan warga Politeknik dan para graduan. Inovasi bukan sekadar mencetuskan idea baharu, tetapi menterjemahkan idea tersebut kepada penyelesaian yang memberikan manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di Pauh Putra, hari ini.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan graduan supaya tidak mengabaikan nilai murni ketika mengejar kecemerlangan kerjaya.

Baginda menegaskan ilmu dan kemahiran perlu sentiasa dipandu oleh akhlak mulia, integriti tinggi serta semangat cintakan negara.

“Graduan yang cemerlang bukan sahaja dinilai melalui kepakaran yang dimiliki, tetapi juga melalui kejujuran, amanah dan keperibadian yang baik. Teruslah melangkah dengan penuh keyakinan, memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki serta menjadi insan yang memberikan manfaat kepada masyarakat, negeri dan negara,” titah baginda.

Sementara itu, PTSS dalam satu kenyataan memaklumkan Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 yang berlangsung mulai hari ini hingga 9 Ogos menghimpunkan seramai 6,104 graduan daripada politeknik dan kolej komuniti di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Pada sidang pertama konvokesyen, graduan Diploma Teknologi Digital daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), PTSS, Teerti Ganapathi Rao, 22, menerima Anugerah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan sahsiah beliau.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.