Arau, 15 November 2019 (Jumaat) – Al-Quran dan Al-Sunnah yang menjadi sumber utama dalam syariah Islam tidak mungkin difahami oleh semua golongan Muslim kecuali mereka yang mengkaji secara mendalam tentang bidang dan ilmu agama. Justeru, para ulama memainkan peranan penting merealisasikan tuntutan agama bagi memberi kefahaman jelas dan benar melalui pengajaran, nasihat, tunjuk ajar dan juga fatwa.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 27 bagi tahun 2019’ yang diadakan di Masjid Kg Surau Utan Aji, Arau pada petang tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Tuan Imam, Amran Omar sera Ahli Jawatankuasa Masjod.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa memberikan fatwa merupakan tugas mulia, tetapi mempunyai risiko tinggi. Ini kerana seseorang Mufti atau Ahli Jawatankuasa Fatwa sepertimana pendapat Imam al-Syatibi adalah menempati kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganti dan pewaris Baginda dalam menyampaikan ajaran Allah, mengajar, memberi petunjuk kepada manusia ke arah jalan yang benar serta memberi peringatan kepada mereka tentang ancaman seksa bagi yang menyeleweng.
Terdahulu diadakan Ceramah Hijrah Minda oleh wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis. Turut diadakan ialah penyampaian agihan zakat MAIPs kepada seramai 20 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025