UniMAP Berperanan Sebagai Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Wilayah Utara

152460

DA NANG, 5 Sept (Bernama) — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempunyai peranan strategik sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan Wilayah Utara menerusi pembangunan bakat, pengetahuan, teknologi serta inovasi yang memenuhi keperluan industri.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kedudukan UniMAP di Perlis memberikan kelebihan kepada universiti itu untuk menjadi penghubung agenda pembangunan negeri dengan ekosistem industri berteknologi tinggi di Kedah dan Pulau Pinang.

“UniMAP bukan sekadar institusi pendidikan tinggi di Perlis, sebaliknya berpotensi menjadi hab bakat, pengetahuan, teknologi dan inovasi yang menghubungkan Perlis dengan ekosistem perindustrian Wilayah Utara.

“Peranan ini amat penting bagi memastikan pertumbuhan industri di rantau ini disokong oleh modal insan yang mempunyai kepakaran teknikal, kemahiran serta keupayaan inovasi yang diperlukan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian pada Majlis Promosi Masakan Perlis di Restoran Indrapura sempena program International Leadership Mobility (ILM) UniMAP di sini.

Yang turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP dan anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kekuatan UniMAP dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, pembuatan, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan mempunyai hubungan langsung dengan keperluan industri berteknologi tinggi, khususnya di Kulim Hi-Tech Park, Kedah dan Pulau Pinang.

Baginda bertitah jaringan UniMAP bersama dengan pemain industri seperti Intel, Infineon, Micron, Oppstar, Inari, SkyeChip, AMD, ViTrox, Modenas serta Proton juga memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai penghubung antara akademik dan industri.

“Jaringan ini perlu terus diperkasakan supaya ilmu dan kepakaran yang dibangunkan di universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk industri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing Wilayah Utara,” titah baginda.

Dalam konteks pembangunan Perlis, baginda bertitah perkembangan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port pula membuka lebih banyak ruang kepada UniMAP untuk memperluas peranan dalam pembangunan bakat, penyelidikan gunaan, teknologi serta penyelesaian industri.

Dengan lebih 15,000 penuntut dan lebih 45,000 alumni, baginda bertitah UniMAP mempunyai kapasiti modal insan yang signifikan untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi serta perindustrian negeri dan wilayah selain membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk keperluan masa depan.

Pada majlis itu, baginda juga berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada pemilik restoran Zulkifli Yaakob.

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.