VIENTIANE (LAOS), 13 Sept (Bernama) — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengintai peluang untuk menjalin kerjasama dengan beberapa pemain industri di Vientiane, bagi kemungkinan membekal tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan.
Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata peluang kerjaya khususnya di Vientiane Logistics Park adalah luas, kerana adanya projek mega kereta api laju yang menghubungkan China melalui Laos ke Thailand dan seterusnya ke Malaysia.
“Terdapat penggunaan teknologi baharu di Vientiane Logistics Park, yang tentunya memberi peluang besar kepada pelajar UniMAP menimba pengalaman luas.
“Kita di UniMAP mempunyai kepakaran dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan elektrikal, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan sivil dan banyak lagi yang boleh dikembangkan di sini ,” katanya kepada Bernama ketika lawatan ke Vientiane Logistics Park sempena Program Jelajah Ilmu ke-16 UniMAP, hari ini.
Berangkat mengetuai delegasi UniMAP Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merupakan Canselor UniMAP.
Zaliman berkata perbincangan dengan beberapa pihak di Vientiane Logistics Park mengalu-alukan pelajar UniMAP untuk menjalani latihan industri ke sini dan beliau berharap pelajar akan mengunakan peluang yang ada itu sebaik mungkin.
Tarikh kemaskini: 4/17/2025