Bandung, Indonesia, 13 September (Bernama) – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempelawa tenaga pengajar, khususnya daripada rangkaian Universitas Muhammadiyah (UM) di Indonesia, untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, berkata pihaknya turut menawarkan pengurangan yuran kepada dosen atau tenaga akademik yang mendaftar secara berkumpulan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi diskusi bersama UM Bandung sempena Mobiliti Kepimpinan Antarabangsa UniMAP 2025 di Bandung, Indonesia.
Dalam lawatan itu, Mohd Shukry bersama Rektor UM Bandung, Prof Dr Ir Herry Suhardiyanto, turut menyempurnakan pertukaran surat niat yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Canselor UniMAP. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Kerjasama Strategik Akademik
Mohd Shukry berkata, selain tenaga pengajar daripada 170 rangkaian UM di seluruh Indonesia, alumni universiti berkenaan juga dipelawa menyambung pengajian di UniMAP dalam pelbagai bidang.
“Kolaborasi ini bukan sahaja membolehkan dosen memperoleh ijazah sarjana atau PhD, malah menghasilkan penerbitan akademik bersama antara UM dan UniMAP,” katanya.
Aspirasi Pendidikan Seimbang
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa arah tuju UM selari dengan aspirasi UniMAP yang berhasrat melahirkan graduan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sahsiah, berteraskan nilai integriti serta kepimpinan.
Baginda menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama tersebut akan memperkukuh ukhuwah ilmu dan menjadi jambatan untuk mengangkat martabat ummah di rantau ASEAN.
Rektor UM Bandung, Prof Dr Ir Herry Suhardiyanto pula menegaskan bahawa pihaknya amat berbesar hati menerima keberangkatan Tuanku Canselor serta delegasi baginda.
“Ini penghormatan yang sangat besar buat kami dan kami bersedia mengenal pasti dosen yang perlu meningkatkan tahap kelayakan akademik mereka bagi memperkukuh keupayaan sedia ada,” katanya.