UniSIRAJ perluas jaringan penyelidikan antarabangsa, raih empat anugerah utama

UniSIRAJ perluas jaringan penyelidikan antarabangsa, raih empat anugerah utama

SAMARKAND (Uzbekistan), 8 Okt – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi berteraskan penyelidikan apabila merekodkan lapan kolaborasi antarabangsa, empat kerjasama strategik kebangsaan serta meraih empat anugerah utama sepanjang 2025.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pencapaian itu membuktikan keupayaan UniSIRAJ memperluas jaringan akademik, meningkatkan pengiktirafan kepakaran dan menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat langsung kepada institusi serta masyarakat.

Menurut baginda, lapan kolaborasi penyelidikan antarabangsa yang direkodkan universiti itu membabitkan kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi di Indonesia, termasuk UNISMUH serta universiti di Palopo dan Tangerang.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, perkongsian ilmu dan pelaksanaan penyelidikan bersama, sekali gus memperluas jaringan akademik UniSIRAJ di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Di peringkat kebangsaan, UniSIRAJ turut menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi terkemuka, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beritahiburan Malaysia

Baginda bertitah, jaringan berkenaan menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, peningkatan kualiti penyelidikan serta pengukuhan hubungan universiti dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Sementara itu, keupayaan UniSIRAJ menghasilkan penyelidikan yang mempunyai aplikasi praktikal turut dibuktikan menerusi projek iFatwa bernilai RM220,000 dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Projek berkenaan mencerminkan kemampuan universiti menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar institusi agama dan masyarakat.

Dalam aspek kecemerlangan akademik pula, warga UniSIRAJ berjaya meraih empat pengiktirafan utama, iaitu Anugerah Pembentang Terbaik, Kertas Kerja Terbaik, Anugerah Inovasi dan Anugerah Buku Negara.

Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan peningkatan mutu penyelidikan, inovasi dan penerbitan ilmiah dalam kalangan ahli akademik universiti berkenaan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada warga UniSIRAJ untuk menganggotai pelbagai badan profesional dan institusi agama.

Antaranya termasuk pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Panel Syariah Jabatan Mufti dan ahli Lembaga Penasihat Pendidikan Agama Islam, selain penglibatan dalam bidang penterjemahan.

Baginda bertitah, pengiktirafan terhadap kepakaran berkenaan menunjukkan peranan UniSIRAJ bukan sekadar melahirkan graduan, malah turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan dasar, pengukuhan institusi dan kesejahteraan masyarakat.

Secara keseluruhannya, baginda menyifatkan pencapaian sepanjang 2025 sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan UniSIRAJ yang dimiliki Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Usaha itu merangkumi peluasan kerjasama strategik, penerbitan ilmiah, inovasi serta pengiktirafan kepakaran bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Makam Amir Temur atau Gur-e-Amir di Samarkand, Uzbekistan.

Kompleks bersejarah itu merupakan tempat persemadian Amir Temur, pengasas Empayar Timurid, bersama beberapa anggota keluarganya.

Terkenal dengan kubah biru serta kehalusan seni mozek, makam berkenaan merupakan antara mercu tanda warisan seni bina terpenting di Samarkand yang menggambarkan kegemilangan tamadun Asia Tengah ketika pemerintahan Dinasti Timurid.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.