UniSIRAJ raih penarafan Berdaya Saing SETARA 2022, perkukuh reputasi pendidikan tinggi

UniSIRAJ raih penarafan Berdaya Saing SETARA 2022, perkukuh reputasi pendidikan tinggi1

SAMARKAND, 8 Okt – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila berjaya memperoleh penarafan Berdaya Saing menerusi Penilaian SETARA 2022.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan keupayaan universiti milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenaan memenuhi piawaian serta indikator penilaian institusi pendidikan tinggi yang ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengiktirafan tersebut merupakan penanda aras penting terhadap prestasi UniSIRAJ, selain mencerminkan komitmen universiti menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti, relevan dan berdaya saing.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengadakan pertemuan dengan Gabenor Wilayah Samarkand, Adiz Muzaffarovich Boboyev di Kompleks Imam al-Bukhari, Samarkand, Uzbekistan, baru-baru ini.

Pertemuan bersempena lawatan kerja dan kunjungan khas baginda ke wilayah itu turut membuka ruang perbincangan mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan, keagamaan, kebudayaan dan pembangunan masyarakat, selain memperkukuh hubungan antara Perlis dengan Samarkand.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz dan Naib Canselor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, keputusan rasmi SETARA 2022 yang meletakkan UniSIRAJ dalam kategori Berdaya Saing merupakan pengiktirafan terhadap prestasi institusi ketika penilaian dilaksanakan.

Baginda bertitah, pencapaian itu juga perlu dimanfaatkan sebagai asas untuk universiti mengenal pasti kekuatan, memperbaiki kelemahan dan merangka strategi pembangunan akademik yang lebih berkesan.

“Seiring pencapaian ini, UniSIRAJ perlu terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh prestasi institusi menerusi pemantapan kualiti dan akreditasi program akademik, peningkatan kompetensi tenaga akademik serta pengukuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” titah baginda.

Tuanku Raja Muda turut menegaskan kepentingan memperkasa agenda penyelidikan dan inovasi, khususnya melalui peningkatan penerbitan berindeks, sitasi serta peluasan jaringan penyelidikan antarabangsa.

Baginda mahu UniSIRAJ memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi luar negara bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan ilmu.

Selain itu, usaha memperluas mobiliti pelajar dan tenaga akademik serta mempergiat program pengantarabangsaan perlu diberi keutamaan supaya UniSIRAJ mampu meningkatkan keterlihatan dan daya saingnya di peringkat global.

Titah baginda, penarafan tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada transformasi berterusan universiti.

“Penarafan Berdaya Saing dalam SETARA 2022 ini perlu dijadikan landasan untuk UniSIRAJ terus memperkukuh kualiti institusi, meningkatkan reputasi akademik serta melangkah lebih jauh ke arah pencapaian yang lebih tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,” titah baginda.

Pencapaian berkenaan turut dijangka memberi nilai tambah kepada kredibiliti UniSIRAJ, khususnya dalam meningkatkan keyakinan pelajar, ibu bapa, industri dan pemegang taruh terhadap mutu pendidikan yang ditawarkan universiti itu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.