Laporan oleh Sholina Osman dari Medan, Indonesia
26 SEPT. 2025
Usaha menaikkan taraf kehidupan golongan Asnaf bukanlah isu yang terhad kepada sesebuah negara semata-mata, sebaliknya ia merentasi sempadan geografi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kejayaan yang dicapai oleh sesebuah negara dalam aspek pengurusan zakat, misalnya, boleh dijadikan rujukan dan contoh amalan terbaik oleh negara lain.
“Kolaborasi antarabangsa membuka ruang yang lebih luas untuk perkongsian sumber baik dari segi ilmu, teknologi, modal mahupun jaringan,” titah Baginda.
Raja Muda bertitah demikian berkenan ketika merasmikan ‘International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE)’ 2025 anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sebuah hotel di Medan, Indonesia.
Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Raja Muda bertitah tiada satu negara pun yang memiliki kekuatan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan.
Namun, titah Baginda melalui sinergi dan kerjasama strategik, sebarang kelemahan dapat ditampung
dengan kekuatan pihak lain.
“Kolaborasi antarabangsa turut menjadi pemangkin kepada inovasi sosial melalui pertukaran idea, pengalaman dan amalan terbaik dari pelbagai latar belakang budaya dan sistem” titah Baginda.
Titah Baginda kepelbagaian perspektif ini bukan sahaja memperkayakan pendekatan dalam pengurusan kebajikan, malah mendorong kepada pembentukan dasar yang lebih inklusif, responsif dan berimpak tinggi terhadap keperluan komuniti Asnaf di peringkat
global. – JM