Usahawan wanita perlu cekal dan jitu – Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Penguasaan ilmu dan teknologi memperkasakan wanita bukan hanya sebagai usahawan, tetapi juga sebagai pencipta nilai, pemimpin ekonomi, dan inspirasi masa depan’.

Baginda bertitah, ‘Manfaatkan setiap peluang dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan serta agensi berkaitan untuk mengembangkan perniagaan. Buktikan bahawa wanita mampu cemerlang dalam apa jua bidang, dan jadilah inspirasi kepada generasi muda’.

“Saya ingin menyeru kepada semua usahawan wanita di negeri Perlis agar terus melangkah ke hadapan dengan semangat yang tinggi dan azam yang jitu. Peranan wanita dalam pembangunan ekonomi negeri semakin terserlah, dan kita harus terus memperkasa diri dengan ilmu, kemahiran dan jaringan yang luas. Timbalah ilmu, kukuhkan jaringan, dan terus melangkah ke hadapan dengan semangat dan keazaman yang tinggi’.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program “Women in Search Of Excellence” (WISE) 2025 di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

Turut berangkat mengiringi Baginda, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Rohaya Md Zain, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Zahari Aziz dan
Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin.

Program WISE 2025 merupakan inisiatif anjuran MARA dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) sebagai usaha berterusan mengangkat potensi wanita sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negara.

Program ini memberi tumpuan kepada sokongan pembiayaan, bimbingan, serta platform jaringan profesional. Bertemakan “Empowering Women, Elevating Business”, WISE 2025 mencerminkan komitmen untuk memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan sambil menilai semula prestasi serta potensi perniagaan yang diusahakan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan penyampaian pembiayaan MARA kepada lima syarikat usahawan wanita terpilih. Antara penerima ialah Haquetta Sdn. Bhd. dan PMA Rich (M) Sdn. Bhd. masing-masing menerima RM500,000, Ucan Helmet Sdn. Bhd. menerima RM150,000, Calico Veterinary (M) Sdn. Bhd. menerima RM400,000, serta wakil keseluruhan Usahawan MARA 2025 yang menerima pembiayaan sebanyak RM20 juta.

Majlis petang itu turut diserikan dengan pertunjukan fesyen “MARA In Fashion” yang menampilkan 12 rekaan eksklusif daripada empat pereka tempatan, iaitu Kebaya Perlis oleh KEMAS Negeri Perlis, KZ Hijrah oleh Khairul Anisah Mohd Kamaluddin, Sricandy oleh Noranis Che Aziz, dan UniKL MIDI oleh Hazizul Abdul Aziz. Persembahan fesyen tersebut mengetengahkan elemen kebudayaan, kontemporari dan inovatif melalui peragaan sembilan orang model profesional.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan melawat reruai usahawan wanita serta agensi-agensi di bawah MARA seperti Batik Inderawasih, Hannah Cookies, Caca Beauty, UniDental, UniKlinik dan Pejabat MARA Negeri Perlis sebagai sokongan berterusan terhadap penglibatan aktif wanita dalam dunia keusahawanan tempatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content