Pusat Berita
Pusat Berita
Tapisan Berita
Paling Terkini
Kita rakyat di Malaysia secara umumnya dan di negeri Perlis secara khususnya amat beruntung dan bertuah sekali kerana dapat hidup dalam sebuah negara dan negeri yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya, adat resam dan bahasa dengan begitu rukun, aman dan damai.
Perpaduan dan keharmonian ini merupakan sebuah khazanah yang perlu sentiasa disubur, disemai dan dipertahankan oleh generasi hari ini dan akan datang.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program sambutan dan perayaan Solstis Musim Sejuk (Chinese Winter Solstice – Dongzhi) 2020 yang diadakan di Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh Bahagian Wanita Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis
itu disambut oleh pengerusinya, Dr. Tan Fee Youn.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Puteri Sharifah Farah Adriana.
Dalam ucapan alu-aluan beliau, Dr. Tan memaklumkan bahawa sambutan hari Chinese Winter Solstice (Dongzhi) ini adalah bersempena perayaan kebudayaan penting yang diraikan khususnya di negara China, Korea, Jepun dan Vietnam sebagai menandakan kemuncak musim sejuk.
Bermula dari hari tersebut, matahari akan bersinar lebih lama, menandakan bermulanya tahun baru yakni perkiraan sebelum wujudnya kalendar.
Tambah Dr Tan, menurut tradisinya, pada hari tersebut juga ahli keluarga dan saudara-mara akan bersama-sama membuat ‘Tangyuan’ iaitu bebola beras pulut yang dimakan sebagai tanda perjumpaan, kesatuan dan kebahagiaan semula memandangkan ramai ahli keluarga dan suku kaum akan berkumpul untuk menyambut hari tersebut.
Oleh yang demikian, sempena sambutan musim ini, adalah diharapkan semoga tahun baru kali ini akan membawa perubahan yang lebih baik kepada ekonomi, hidup dan hubungan antara semua.
- 2020/12/22 1:37 PM
- Suara Merdeka
KANGAR: The people were reminded today to always be cautious when dealing with strangers so that they don’t end up being victims of online scammers.
- 2020/12/22 1:35 PM
- Bernama
Aspek ‘asas’ keselamatan dalam aktiviti menunggang adalah amat penting apabila seseorang itu berbasikal dan tidak boleh dikompromi.
Pemakaian topi keselamatan dengan cara yang betul bagi melindungi kepala daripada kecederaan dan pemakaian yang sesuai untuk memberi keselesaan dan keselamatan kepada penunggang basikal adalah sesuatu yang wajib.
Periksalah keadaan basikal masing-masing sebelum digunakan supaya sentiasa berkeadaan baik semasa menunggang.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengambil bahagian dalam aktiviti berbasikal ‘Kayuhan Arau ke Alor Setar’ yang bermula dari Istana Arau dan berakhir di perkarangan Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh Kelab TTG Chapter Negeri Kedah dan mendapat kerjasama daripada pihak PDRM, MADA, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Veterinar, Risda , dan Kedah Medical Centre itu disambut oleh Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali.
Sejurus berangkat tiba, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan melawat laman rusa, Rumah MAHA, melepaskan ikan-ikan tilapia dan jelawat ke dalam kolam serta menanam pokok ‘Weeping Willow’ sebagai kenang-kenangan sempena kunjungan baginda.
Tuanku Raja Muda yang diiringi 49 peserta lain iaitu sebagai simbolik bersempena ‘Sambutan 50 Tahun MADA : 1970-2020’ dari kalangan ketua jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan Perlis turut meluangkan masa singgah di beberapa buah masjid, Menara Alor Setar, Dataran Masjid Zahir, Jeti Pekan Cina dan restoran Cafe Diem sepanjang kayuhan sejauh 50 km tersebut.
- 2020/12/22 8:17 AM
- Bernama
KANGAR, 20 Dis — Masyarakat diingatkan supaya jangan terlalu mudah untuk percaya kepada orang yang tidak dikenali dan sentiasa wujudkan syak wasangka bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda menasihati orang ramai agar melakukan pemeriksaan atau pengesahan dengan pihak berkaitan seperti pihak bank dan Polis terlebih dahulu sebelum memberi maklumat peribadi kepada orang yang tidak dikenali.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini, baginda bertitah jangan sesekali beri pinjam akaun bank sendiri kepada orang lain, atau menjadi ‘keldai akaun’.
“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta agar tidak memadam sebarang bentuk komunikasi dengan penjenayah penipuan seperti email, khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, log panggilan telefon dan sebagainya untuk memudahkan proses siasatan polis,” titah baginda.
— BERNAMA
- 2020/12/22 8:13 AM
- Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengalu-alukan sokongan di segenap peringkat bagi sama-sama membantu merancakkan kembali industri Pelancongan dan Perhotelan negara melalui pelbagai program, promosi, kempen dan juga insentif yang kreatif dan berinovatif untuk membantu industri ini.
Pada kesempatan yang sama, rakyat di minta mematuhi segala SOP dan amalan kebiasaan baharu yang disarankan dengan sebaik mungkin.
Baginda yang berpengalaman luas dalam sektor berkenaan setelah berkhidmat untuk syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) selama lebih 12 tahun di dalam dan juga luar negara bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Pengurus Hotel Seri Malaysia Kulim, Kamal Johari Mustaffa dan Penyelaras Jualan Kanan Hotel Seri Malaysia Kangar, Afizul Shahril Aziz di Galeri DiRaja Arau.
Di majlis tersebut Kamal Johari yang juga merupakan bekas Pengurus Residen Hotel Seri Malaysia Kangar sebelum ini mempersembahkan 300 keping baucar diskaun daripada pihak Hotel Seri Malaysia kepada baginda untuk dimanfaatkan oleh warga kerja Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, khususnya Unit baginda.
Kamal Johari menerangkan bahawa baucar-baucar tersebut adalah sebahagian daripada perkembangan dan strategi terkini yang dilaksanakan oleh pihak Hotel Seri Malaysia dalam berhadapan kesan pandemik COVID-19.
Menurut beliau, ‘Industri Perhotelan dan Pelancongan di negara kita kini terjejas teruk kesan daripada penularan COVID-19 termasuklah pengurangan dari segi jumlah kemasukan pelancong dan tempahan hotel di seluruh negara dan tidak terkecuali juga Hotel Seri Malaysia. Ia berikutan pelaksanaan PKP oleh Kerajaan sejak awal tahun ini dan rakyat lebih berhati-hati menjalankan aktiviti harian termasuklah untuk melancong dan menginap di hotel’.
Menurut beliau, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri telah ditamatkan dan beberapa lokasi lagi masih berada di zon hijau serta musim cuti persekolahan, pihak Hotel Seri Malaysia mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan orang ramai bersama-sama keluarga untuk kembali melancong ke tempat-tempat menarik dalam negeri dan menginap di Hotel Seri Malaysia yang terdapat di seluruh negara.
“Inilah masanya untuk orang ramai yang berkemampuan untuk keluar bersama-sama keluarga dan sahabat handai berkunjung ke pusat-pusat pelancongan pilihan masing-masing setelah berbulan-bulan berada di rumah dan masa ini juga harus digunakan sebaiknya bagi mengeratkan kembali silaturahim dan kekeluargaan di samping sama-sama membantu sektor pelancongan dan perhotelan negara”, jelas beliau.
Kamal Johari juga menambah, disebabkan itulah pihak Hotel Seri Malaysia memperkenalkan baucar potongan harga RM68 untuk penginapan 2 hari dan 1 malam di semua cawangan hotel tersebut di seluruh negara. Walaubagaimanapun Hotel Seri Malaysia Kangar hanya akan mula menggunakan baucar tersebut pada tahun hadapan. Ini antara langkah yang diambil bagi mengalakkan rakyat untuk kembali melancong dan membantu industri Pelancongan negara yang terjejas kebelakangan ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak pengurusan hotel tidak akan sama sekali mengabaikan SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM dalam memerangi COVID-19 termasuklah amalan penjarakan sosial, pengambilan suhu badan, penjagaan kebersihan serta kawalan yang ketat di seluruh cawangannya demi keselamatan dan keselesaan para pengunjung.
- 2020/12/22 8:12 AM
- Bernama
Demikian diisytiharkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama lslam dan Adat lstiadat Melayu Perlis (MAlPs) di masjid berkenaan.
Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan yang mengiringi baginda, keputusan pertukaran nama ini telah disokong dan disahkan oleh Mesyuarat MAIPs yang dipengerusikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri sebelum ini dan telah memperoleh limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Jelas Dr Hazman, ‘Pengorbanan dan perjuangan Khalifah Uthman Bin Al-Affan diabadikan pada nama masjid berkenaan. Khalifah Rasyidin ketiga ini merupakan bangsawan dan hartawan Quraisy, menjadi antara individu terawal memeluk Islam. Bahkan beliau juga dianggap tokoh pertama mempelopori projek pembukuan kitab Al-Quran selepas sempurna diwahyukan, sehingga digelar sebagai “Mushaf Uthmani” bersempena nama beliau’.
‘Beliau turut mendapat penghormatan untuk memperisterikan bukan satu tetapi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum sehingga digelar “Dzun Nurain” yang bermaksud ‘dia yang memiliki dua cahaya (dua puteri Nabi)’.
‘Penukaran nama masjid ini merupakan sebahagian inisiatif MAIPs untuk memperkukuhkan jati diri negeri Perlis sebagai bumi Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948’ terang Dr Hazman.
Perlis sebagai Negeri Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang teguh dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW bahawa para sahabat baginda seperti Khalifah Uthman merupakan sebaik-baik umat Islam selepas baginda, wajib mengikuti jalan para sahabat, meyakini keadilan mereka, redha dan mendoakan mereka, namun tidak melampau dalam mengagungkan mereka.
Sebelum majlis simbolik penyerahan surat pengisytiharan yang disaksikan oleh Tuanku Raja Muda itu disempurnakan, telah dilaksanakan juga ceramah bertajuk ‘Rakyat Perlis Benci Najis Dadah’ yang disampaikan oleh wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri.
Sumber: Suara Merdeka
- 2020/12/21 9:35 AM
- Suara Merdeka