Pusat Berita
Pusat Berita
Tapisan Berita
Paling Terkini
KANGAR : Golongan warga emas merupakan aset penting kepada negara kerana mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang boleh menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usia emas tidak boleh dianggap sebagai pengakhiran untuk tidak terus menyumbangkan tenaga dan idea kepada negara, malah kelebihan yang dimiliki mereka boleh dimanfaatkan.
“Ingatlah bahawa, usia emas bukanlah satu noktah untuk tidak terus menyumbang tenaga dan idea. Saya yakin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah merangka dan melaksanakan pelbagai program untuk mengendalikan segala perancangan peningkatan sama ada daripada aspek pembangunan, perlindungan mahupun kebajikan terhadap warga emas,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas dan orang kurang upaya (OKU) peringkat negeri Perlis 2020 di Pauh Inn, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah JKM negeri, Mohammad Hazam Ismail.
Sementara itu, baginda berharap warga emas terus diberi perlindungan sebaiknya kerana golongan tersebut amat berisiko dengan jangkitan Covid-19.
Tema Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan tahun ini adalah Pandemik Dan Penuaan: Mendepani Perubahan yang amar bertepatan dengan situasi negara yang berdepan pandemik Covid-19.
Untuk rekod, Malaysia diunjurkan akan menjadi sebuah negara tua (aged nation) pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.-UTUSAN ONLINE
- 2020/11/18 8:24 AM
- Utusan Online
Ketika ini dunia sedang berhadapan pandemik COVID-19 dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga perlu melakukan perubahan seiring dengan perkembangan ini.
- 2020/11/18 8:22 AM
- Bernama
‘Ketahuilah bahawa warga emas merupakan aset yang amat penting kepada negara kerana mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang sukar dicari ganti’.
- 2020/11/18 8:19 AM
- Bernama
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat melancarkan simbolik ‘Perancangan Strategik MAIPs 2021-2025’ yang diadakan di Balai Menghadap Kuning, Istana Arau.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs yang menitahkan bahawa ‘Perancangan yang telah dibangunkan, menuntut kepada keperluan untuk mempersiapkan seluruh ekosistem MAIPs dalam mendepani segala cabaran mendatang’.
- 2020/11/16 8:15 AM
- Bernama
KUALA PERLIS – Masjid di seluruh Perlis disaran berperanan sebagai pusat sokongan kecemerlangan pendidikan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agar institusi masjid turut menjayakan usaha mewujudkan pusat pembelajaran komuniti kalangan pelajar sekolah.
Baginda bertitah, masjid harus memainkan peranan sebagai pusat komuniti yang dekat dengan masyarakat.
“Manurut kajian, hanya 60 peratus pelajar di Perlis mempunyai kemudahan jaringan internet manakala sekurang-kurangnya 40 peratus lagi tidak berupaya meneruskan pembelajaran secara dalam talian.
Dengan mengupayakan masjid, ia dapat mengurangkan jurang antara pelajar yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet yang digunakan meluas dalam pengajaran dan pembelajaran dari rumah,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin, jika usaha ini dilaksanakan, akses kepada pendidikan dapat dipertingkatkan dan mengoptimumkan peluang mengikuti pendidikan meskipun tidak dapat hadir ke sekolah.
“Perkara ini juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” titah baginda.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau kerja-kerja pembinaan menyiapkan Masjid Al-Munir yang baharu, di Batu 5, Jalan Kuala Perlis.
Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Baginda turut dipersembahkan taklimat berkaitan masjid baru itu oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Syed Zubir Syed Husin.
“Masjid berkeluasan 1,293 meter persegi dengan keluasan ruang solat 378 meter persegi mampu memuatkan 1,000 jemaah,” katanya.
Syed Zubir berkata, laporan kemajuan kerja fizikalnya kini pada tahap 60 peratus dan dijangka siap pada 22 Februari 2021.
- 2020/11/16 7:51 AM
- Bernama
Masyarakat hendaklah diberikan kesedaran tentang bahaya dan kesan toksik dari pelupusan buangan yang tidak sempurna dengan secara lebih agresif lagi di segenap peringkat oleh semua pihak yang berwajib.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program ‘Hijrah Minda kali ke 24 bagi tahun 2020’ bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Munir, Kg Batu Lima, Jalan Kuala Perlis.
Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail bagi menyempurnakan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada 10 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Kg. Bangsal Lebah disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Hamizan Hassan, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Hj. Azman Shah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut bersama ialah Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri, Khairul Anwar Ahmad dan Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri, Ahmad Nizam Samsoo.
Terdahulu, diadakan ‘Ceramah Hijrah Minda’ yang disampaikan oleh Azman Shah, memaklumkan bahawa pihak jabatan beliau akan terus berusaha keras bagi mendidik dan menggalakkan orang ramai di negeri Perlis menghantar buangan elektrik dan elektronik masing-masing ke Pusat Pengumpulan yang dibenarkan untuk dilupuskan mengikut kaedah yang betul serta mesra alam.
Tambah beliau lagi, inisiatif tersebut juga akan memberi peluang menjana pendapatan sampingan dari aktiviti pengumpulan buangan elektrik dan elektronik kepada masyarakat.
- 2020/11/16 7:49 AM
- Bernama