Pusat Berita
Pusat Berita
Tapisan Berita
Paling Terkini
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bercerita kisah DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menceritakan pengalaman-pengalaman menarik semasa menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke 12 (Dec 2001- Dec 2006).
Melalui hantaran ke Facebook, beliau yang lebih dikenali panggilan Dr. Maza berkata, salah satu kisah yang sering baginda ulang -mungkin dekat di hati baginda – ialah ketika baginda diminta oleh Pihak Kerajaan ketika itu untuk melakukan upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sebagai satu penghormatan kepada tugu dan para pahlawan negara.
Baginda menjawab kepada pihak yang meminta: “Untuk Angkatan Tentera saya akan melakukan apa sahaja. Namun, meletakkan kalungan bunga di tugu, itu tidak dapat saya lakukan. Itu mempunyai unsur syirik”.
Memandangkan baginda tidak berkenan melakukan hal tersebut, Pihak Kerajaan ketika itu menghantar salah seorang anggota kabinet untuk memujuk DYMM Tuanku.
Baginda menjawab kepada menteri berkenaan: “Apakah bezanya perbuatan tersebut dengan perbuatan meletakkan bunga (memuliakan) di pongsu (maksudnya di tunggul batu atau patung)? Itu mempunyai unsur syirik.
“Kalau kerana hendak menjadi Yang Di-Pertuan Agong saya terpaksa melakukan hal itu, saya sanggup segera balik ke Perlis.
“Saya tidak sanggup masuk neraka kerana syirik hanya disebabkan perkara ini”.
Akhirnya, Pihak Kerajaan ketika itu bersetuju bahawa DYMM Yang Di-Pertuan Agong tidak perlu melakukan upacara tersebut. Semoga ALLAH mengganjari DYMM Raja Perlis atas pendirian tegas baginda dalam hal tersebut, kata Dr. Maza.
- 2020/11/09 2:02 PM
- Bernama
Pelbagai inisiatif industri perbankan dilihat mampu membantu merancakkan lagi sektor pelancongan domestik yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah meninjau pelaksanaan program ‘Perlis Bersih Indah’ anjuran Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri dan rakan strategik industri perbankan yang beroperasi di negeri Perlis yang dilaksanakan di Taman Agrovet Perlis di Kok Mak Padang Besar semalam.
Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pegawai Kewangan Negeri Nasaruddin Abdul Mutalib, Bendahari Negeri Ahmad Irwan Baharuddin serta Pengarah JPV Negeri, Dr. Zulkifli Ahmad.
Hadir sama mengiringi baginda berdua ke lokasi pelancongan popular yang menempatkan pelbagai jenis haiwan termasuklah kuda, ostrich, rusa dan sebagainya itu ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radzi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang sentiasa menekankan supaya ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ bertitah, selain inisiatif dan insentif yang diumumkan oleh kerajaan dalam membantu sektor pelancongan seperti pelaksanaan moratorium, Tabung Khas Pelancongan dan sebagainya, pihak industri perbankan juga turut berkemampuan untuk memainkan peranannya dalam membantu merancakkan kembali pelancongan domestik negara.
“Walaupun industri pelancongan di seluruh dunia terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19, industri perbankan di negara ini dilihat berpotensi menyuburkan kembali sektor berkenaan seperti pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), program kewangan sosial seperti wakaf dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan sebagainya,” titah Tuanku Raja Muda.
Dalam hubungan itu, Mohd Nazim menambah bahawa pihak MAIPs sentiasa membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri perbankan dalam menerokai segmen kewangan sosial seperti wakaf dan sedekah demi manfaat masyarakat.
“Sebagai salah satu instrumen penting dalam membangunkan ekonomi ummah, wakaf tidak hanya terikat dengan konteks ibadah semata-mata bahkan melangkaui aspek lain termasuk industri pelancongan selagi ianya tidak terlibat dengan perkara yang dilarang oleh agama,” jelas beliau.
Dalam program CSR yang buat julung kalinya diadakan seumpama ini, lima buah bank yang beroperasi di negeri Perlis tampil mengambil bahagian iaitu Malayan Banking Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
- 2020/11/09 1:59 PM
- Utusan Online
Integriti dalam diri adalah benteng yang paling kukuh dalam menjauhi dan membanteras daripada berlakunya gejala rasuah.
“Sekiranya jiwa seseorang itu cukup kental menangkis ‘kuasa wang’, maka integriti dan amanahnya tidak akan dapat dipertikaikan”.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik pelancaran ‘Hari Integriti Nasional Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Berintegriti’ yang diadakan di Masjid Darul Ulum, Kg Wang Ulu Bintong, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang disekalikan dengan aktiviti ‘Hijrah Minda MAIPs kali ke 23 bagi tahun 2020’ itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Penolong Penguasa Zurazman Noh dari Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis yang turut menyampaikan ceramah berkaitan isu integriti.
Mohd Nazim pula menambah bahawa hukuman keras dan menggerunkan bukanlah benteng utama dalam menangani isu rasuah, sebaliknya ia memerlukan sikap jujur dan berintegriti dengan tidak menggadai atau menjual amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.
Di majlis yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua turut berkenan menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada golongan asnaf dari kalangan anak kariah masjid berkenaan.
Untuk rekod, sejak 2005, Kerajaan Malaysia mengistyharkan 5 November setiap tahun sebagai ‘Hari Integriti Nasional’ yang mana pada tahun ini ia mengangkat tema “Integriti Penentu Kejayaan Budaya Kerja Norma Baharu” bermatlamatkan untuk membudayakan integriti dan memupuk nilai murni sejagat serta tadbir urus dalam masyarakat.
Turut diadakan ialah promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs, Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia Negeri Perlis.
- 2020/11/09 1:57 PM
- Utusan Online
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar semua institusi sekolah sentiasa memberikan fokus kepada menyediakan kumpulan pelajar yang sentiasa komited dan berminat untuk terus belajar.
- 2020/11/06 8:15 AM
- Bernama
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar semua pihak memainkan peranan dalam mempertingkatkan kesedaran dan nilai integiriti dalam masyarakat tanpa tunai (cashless society).
Konsep ‘cashless society’ adalah salah satu usaha dalam mempertingkatkan keberkesanan pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat, dalam masa sama ia juga merupakan satu cabaran ke arah mempertingkatkan lagi tahap kesedaran dan nilai integriti dalam kalangan masyarakat.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap Pengurusan Kanan Wilayah dan Negeri Perlis, Bank Kerjasama Rakyat dalam satu pertemuan khas perbincangan kolaborasi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar semalam.
“Dalam hubungan ini, para penerima sumbangan misalnya, hendaklah mempunyai pengetahuan asas agar matlamat masyarakat tanpa tunai mencapai maksudnya. Selain mempermudahkan penyaluran sumbangan dilaksanakan, penggunaan akaun bank dilihat dapat menjadi kawalan dalaman ke arah menjadi pengguna bijak dalam berbelanja,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima menghadap Ketua Wilayah Utara Bank Rakyat, Tuan Haji Mohd Azmir Mohd Nasarudin dan Pengurus Cawangan Kangar, Tun Asrul Saini Wan Agil.
Turut bersama dalam pertemuan berkenaan ialah Pengurus Cawangan Arau, Zuriani Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim
- 2020/11/04 3:54 PM
- Utusan Online
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) komited untuk menyuburkan semangat berwakaf di kalangan para penerokanya sebagai usaha untuk mengangkat nilai keberkatan dalam kehidupan.
Hasrat berkenaan dipersembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Timbalan Pengarah Besar Perladangan dan Pembangunan Peneroka FELDA, Datuk Amir Hamdan Hj Yusof ketika sesi mengadap hormat pengurusan kanan Jabatan Perladangan dan Pembangunan Peneroka FELDA ke atas baginda di Dewan Kuliyyah MAIPs di Kangar.
Ujar Amir Hamdan, usaha bersungguh-sungguh pihak FELDA yang diterajui Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh adalah dalam usaha melaksanakan transformasi minda dan tindakan menyeluruh warganya demi kelestarian kejayaan inisiatif FELDA masa panjang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf, MAIPs mengalu-alukan inisiatif yang dicadangkan oleh pihak FELDA dan akan memberikan panduan terbaik dalam menjayakan projek mercu tanda wakaf demi kebaikan ummah.
“Selain usaha untuk menyuburkan semangat berwakaf di kalangan warga peneroka, usaha ke arah mempersiapkan generasi ketiga dan keempat FELDA untuk mendepani cabaran masa hadapan juga harus diberikan perhatian dan keutamaan sewajarnya dari awal lagu,” titah baginda lagi.
Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Koordinasi Pengurusan Wilayah FELDA, Razuwan Che Ros serta Penolong Pengurus Besar FELDA Wilayah, Izham Ramli.
- 2020/11/03 2:51 PM
- Bernama