Kangar. 2 Mac 2020 – Kelab Golf Putra (KGP) Perlis sebagai pemacu dalam sukan golf di negeri ini diharap akan terus berusaha, cekal, kukuh dan berjaya menjadi antara kelab golf pilihan di utara Malaysia ini.
KGP Perlis juga hendaklah disegani sebagai sebuah kelab golf yang bersifat mesra, mudah, indah, cantik dan menyeronokkan kepada ahli mahupun tetamu yang mengunjungi dan menggunakan perkhidmatannya di sini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan dan seterusnya mempengerusikan ‘Mesyuarat Agung Kelab Golf Putra Perlis Kali Ke-43, Tahun 2020’ yang diadakan di rumah kelab berkenaan di Sungai Batu Pahat pada sabtu pagi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof yang juga Naib Presiden 1 kelab.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Presiden kelab turut menambah bahawa menerusi usaha penambahbaikan yang dilakukan secara berterusan, negeri ini melalui KGP Perlis diyakini boleh merasa bangga dengan lapangan golf yang sedang diusahakan.
Namun begitu, KGP Perlis seperti juga beberapa kelab golf yang lain di utara tanah air mempunyai banyak kekangan dan sumber yang terhad kerana terpaksa mengharungi kedudukan kewangan yang mencabar khususnya akibat kejatuhan pendapatan daripada sumbangan dan penyewaan buggies berbanding tahun-tahun sebelumnya serta jumlah yuran bulanan yang hanya dapat menampung sebahagian daripada kos tenaga kerja.
Oleh itu pihak KGP Perlis mengucapkan berbanyak terima kasih kepada AJK dan ahli-ahli yang telah menghulurkan bantuan melalui sumbangan idea, tenaga dan bantuan kewangan untuk menyelesaikan isu-isu yang kritikal untuk memastikan operasi KGP Perlis dapat diteruskan.
Baginda juga mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri melalui pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang banyak membantu khususnya dalam kerja-kerja penyelengaraan.
Pada masa yang sama baginda menyeru semua AJK dan ahli supaya menjadi pengerak dalam mempromosikan sukan pelancongan golf di Perlis, selain mendapatkan keahlian baharu. KGP Perlis juga perlu dijadikan sebagai medan pertandingan golf untuk mana-mana penganjuran di peringkat ahli kelab atau kebangsaan dan ini mampu meningkatkan lagi pendapatannya dalam membiayai kos-kos penyelengaraan yang semakin meningkat saban hari.
Untuk rekod, pada pemilihan kali ini, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dipilih sebagai Naib Presiden 3 kelab untuk tempoh 2020-2022.
Sementara itu, seramai lima ahli jawatankuasa dipilih terdiri daripada Mohd Nizar Mohd Shahab, Wan Mohd Zaki Wan Abdul Razak, Zulkifli Said, Che Ahmad Che Man dan Norizan Ramli dalam mesyuarat kali ini.
Wan Zainol Wan Dali dan Mohd Noor Mohd Hussin pula dipilih sebagai Pemeriksa Kira-Kira untuk tempoh tersebut.
Tarikh kemaskini: 4/28/2025