KUCHING: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir ke Majlis Santapan Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Kuching sempena Hari Bandar Raya Kuching Ke-31 anjuran Kerajaan Sarawak bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di Hotel Pullman, Kuching, malam kelmarin (Sabtu).
Keberangkatan baginda disambut Menteri Muda Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan Sarawak Dr Annuar Rapa’ee bagi mewakili Ketua Menteri Sarawak.
Sejurus tiba, baginda berkenan menyampaikan replika cek sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis berjumlah RM3,000 kepada Persatuan Tentera Kor Renjer dan kemudiannya baginda turut beramah mesra dengan 20 veteran tentera ATM yang hadir pada majlis ini.
Antara persembahan semasa majlis adalah lantunan syair berjudul ‘Syair Rakis (Syair Sarawak)’ oleh johan Syair Kebangsaan 2009 Mohamad Faizal Jamil dan deklamasi sajak ‘Aduhai Negaraku Permai’ oleh johan Sayembara Deklamasi Puisi Negeri Sarawak 2019 Khalid Husseine Tuah.
Selain itu, baginda bersama hadirin yang lain juga menyaksikan persembahan istimewa daripada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang telah mendeklamasikan sebuah sajak menarik berjudul ‘Biar Roda Terus Berputar’.
Turut hadir semalam adalah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia Dr Hazami Jahari.
Tarikh kemaskini: 5/1/2025