KANGAR 30 Sept. – Syarikat akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad merupakan khazanah negara yang perlu sentiasa dipelihara dan dipastikan kelangsungan pengoperasiannya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, baginda prihatin dengan situasi semasa dihadapi syarikat itu yang kini berdepan masalah kewangan meruncing.
“Syarikat ini yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan sebahagian khazanah negara.
“Mereka kini berdepan dengan masalah kewangan yang meruncing sehingga menjejaskan kebajikan kakitangannya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menghadiri Majlis Apresiasi Sisipan Akhbar Khas sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-76 Raja Perlis, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar semua pihak turut sama membantu syarikat tersebut dengan pelbagai cara yang mampu.
“Langgani juga akhbar syarikat berkenaan sama ada secara fizikal atau secara digital bagi membantu kelangsungan Utusan Melayu khususnya,” katanya.
Tarikh kemaskini: 5/1/2025