Arau, 15 November 2019 -Gejala rasuah tidak boleh dimulakan walaupun dengan nilai kecil kerana ianya boleh menjadi tabiat yang berlarutan mahupun berasa ‘gian’ hingga menjejaskan prestasi keseluruhan sistem kerja sedia ada.
Demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Sembah Mengadap oleh Ketua-Ketua Jabatan Negeri Perlis dan Persekutuan yang baharu berkhidmat di Perlis’ pada petang semalam.
Seramai 14 orang Ketua-Ketua Jabatan baru sembah mengadap ke atas baginda di Bilik Biru Istana Arausejurus selepas tamat Majlis Santapan Tengahari sempena Istiadat Pengurniaan Pingat Kali ke-3.
Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlia Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Tuanku Raja Perlis turut menitahkan agar budaya kerja yang tidak elok yang sering diamalkan penjawat awam seperti masuk pejabat lewat, seringkali keluar pejabat untuk urusan peribadi terlalu lama telah menjadi satu budaya dan perlu diubah dengan mentaliti kelas pertama dalam tindakan yang betul untuk berkhidmat dengan baik.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025