Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 26 November 2019 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan meneruskan ‘Program Muraqib Amil MAIPs’ di sekolah-sekolah seluruh Perlis bagi memudahkan penyaluran maklumat dan sumbangan, serta memberikan saranan mempertingkatkan perkhidmatan kepada golongan sasar.
Diharapkan pelantikan Muraqib Amil MAIPs ini akan mewujudkan satu ekosistem yang kondusif ke arah memberikan lebih lagi perkhidmatan dan penumpuan kepada aspek kebajikan anak-anak asnaf.
Semua pihak terlibat terutama pengurusan sekolah dan ibu bapa perlu memberikan perhatian kepada pembelajaran dan kehadiran pelajar ke sekolah.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Masjid Besar Sheikh Zayed di Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada petang semalam.
Turut mengiringi baginda ialah Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti, Prof Mohd Fo’ad Sakdan.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP turut menambah bahawa kaedah pembelajaran yang lebih terkini boleh menarik minat pelajar untuk lebih bersungguh-sungguh di dalam pembelajaran dan tumpuan di dalam kelas. Persekitaran yang bersih dan ceria juga berperanan menimbulkan minat pelajar dan Saya berharap semua Pengetua dan Guru Besar akan menjadikan ia sebagai satu realiti.
Tuanku Syed Faizuddin Putra kini dalam rangka lawatan ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)’.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025