Kangar – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan Buku Siri Asas Kanak-kanak Muslim bagi memperkukuh pendidikan agama dalam kalangan murid berusia tujuh tahun hingga 12 tahun.
Inisiatif ini merupakan usaha melahirkan bahan pembelajaran Islam yang menyeronokkan dan mudah difahami, selain digunakan melalui Program Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) sebagai kesinambungan kejayaan Buku Tafsir Ringkas Faizuddin.
Perkara itu dipersembah maklum kepada Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas baginda mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kampung Utan Aji, di sini, baru-baru ini.
“Usaha memperkukuh pendidikan Islam pada peringkat awal amat penting bagi membina generasi Muslim berilmu dan berakhlak tinggi di Perlis,” titah baginda.
Dalam program yang sama, turut dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meluluskan tambahan kuota sebanyak 50 orang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri tersebut bagi memenuhi keperluan SIPs Pratahfiz dan Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan guru KAFA di Perlis kini sebanyak 850 orang.
Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan elemen sukan, kebajikan dan dakwah bagi mendekati masyarakat khususnya golongan asnaf dan B40.
Kayuhan santai itu turut dijadikan platform penyampaian bantuan zakat, pendidikan serta keperluan asas kepada penerima yang layak di setiap mukim yang dilalui.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai bernilai RM700 berserta Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah.