Pelihara serta lestarikan adat dan warisan tempatan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
31 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar adat dan warisan kearifan tempatan terus dipelihara serta dilestarikan demi memastikan identiti negeri dan jati diri bangsa kekal utuh dalam mendepani arus perubahan zaman.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Program MAIPs Peduli yang diadakan bagi menyantuni umat Perlis di samping memperkukuh agenda dakwah dan kebajikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Warisan dan adat istiadat bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi merupakan akar budaya, tunjang pembinaan peradaban dan khazanah yang membentuk jati diri masyarakat. Maka, usaha melestarikannya perlu dilaksanakan secara menyeluruh agar tidak hilang ditelan masa,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Turut berangkat mengiring ialah anakanda baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

ADAT DAN WARISAN

Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa usaha melestarikan adat dan warisan perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, dokumentasi, promosi dan penghayatan dalam kehidupan seharian agar warisan tidak sekadar dipamerkan, tetapi terus hidup dan diamalkan oleh masyarakat.

Dalam konteks ini, MAIPs melalui Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu sentiasa memberikan perhatian terhadap pemeliharaan dan pengembangan adat serta warisan kearifan tempatan melalui pelaksanaan pelbagai kajian, dokumentasi dan promosi elemen warisan seperti adat kehidupan, adat istiadat, sukan rakyat, busana serta kulinari tradisional negeri.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk Pelancaran Tengkolok Putra Julang Darjat, Promosi Pemakaian Kebaya Perlis, serta dokumentasi warisan busana dan kulinari tempatan.

MELAKSANAKAN BEBERAPA KAJIAN

MAIPs juga kini sedang melaksanakan beberapa kajian bagi memastikan adat dan budaya unik negeri Perlis yang luhur, murni dan harmoni kekal terpelihara untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Program kayuhan kali ini turut disertai oleh pelbagai agensi dan pertubuhan masyarakat setempat sebagai manifestasi sokongan terhadap usaha memperkukuh agenda pelestarian warisan serta kesejahteraan rakyat.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Noriza Morat, 61 Mat Hasan Saad, 48 dan Sity Ishah Mat, 71 kesemuanya dari Kampung Bunga Emas Timur.

BERUPA WANG TUNAI

Setiap penerima menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah.

Sebagai melengkapkan keberangkatan, Tuanku Raja Muda turut berkenan meninjau Bengkel Batik Sensasi Asfa di Simpang Empat, bagi melihat sendiri keunikan hasil kraftangan tempatan yang menjadi sebahagian daripada seni warisan negeri.

Selain itu, Baginda juga berkenan singgah di Restoran Hidangan Tempatan Nipah Klasik, yang mengetengahkan cita rasa masakan warisan Perlis sebagai satu bentuk promosi budaya dan pengukuhan ekonomi tempatan. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.