1November 2025.
Chuping. Setiap pelajar wajar menerapkan serta menyemai nilai kepercayaan dan pegangan agama yang kukuh dalam diri. Keutuhan elemen keagamaan memainkan peranan penting dalam membentuk cara berfikir dan pandangan hidup seseorang kerana akhlak mulia dan sahsiah terpuji bukan sahaja mencorakkan keperibadian unggul, malah menjadi asas kecemerlangan pelajar di dunia dan di akhirat.
“Golongan pelajar secara khususnya perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan nilai murni demi membentuk modal insan yang berkualiti serta jati diri yang unggul. Usaha ini mampu melahirkan individu yang berwibawa, berjiwa kepimpinan, dan menghormati sesama insan”.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar kawasan Chuping.
Turut berangkat sama ialah anakanda baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda mengucapkan selamat bersedia kepada semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 negeri Perlis yang akan bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 3 November 2025, dan peperiksaan bertulis bermula pada 25 November sehingga 23 Disember 2025 yang akan datang ini.
Program kayuhan tersebut merupakan salah satu instrumen MAIPs dalam mendekati umat Perlis melalui pendekatan turun padang, khususnya dalam usaha menyampaikan sumbangan zakat, bantuan kebajikan serta meninjau kehidupan golongan asnaf di seluruh negeri Perlis.
Sempena program berkenaan, baginda berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada asnaf terpilih.
Antara penerima sumbangan pada edisi kali ini ialah An Darus, 82, dari Kampung Bawah Bukit; Ahmad Kamal Che Ali, 67, dari Kampung Bawah Bukit; dan Aris Ramli, 64, dari Kampung Perik.
Dalam program yang sama, baginda turut berkenan meluangkan masa mengadakan lawatan ke ChupingVille Roomstay, destinasi penginapan baharu dengan desain yang menarik.
Menawarkan konsep penginapan ‘roomstay’ berasaskan ketenangan desa ini menyediakan bilik-bilik selesa lengkap dengan kemudahan moden seperti penyaman udara, televisyen pintar, peti sejuk mini, meja kerja dan kemudahan solat untuk keselesaan tetamu.
Dengan kombinasi keindahan semula jadi dan kemudahan moden, ChupingVille Roomstay menjanjikan pengalaman penginapan yang tenang serta sesuai untuk seisi keluarga, pasangan mahupun pelancong solo yang mencari ketenangan di negeri Perlis.