Pasca Banjir: NADMA, JKM dan MAIPs Perkukuh Koordinasi Bantuan di Perlis

Pasca Banjir NADMA, JKM dan MAIPs Perkukuh Koordinasi Bantuan di Perlis

29 November 2025.
Kangar.

Menghadapi fasa pasca banjir, mangsa-mangsa di Perlis diingatkan supaya mendaftar terlebih dahulu di bawah bantuan rasmi bencana NADMA, iaitu Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Pendaftaran dibuat apabila mangsa hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengimbas kod QR melalui aplikasi MyIBJKM untuk melengkapkan maklumat diperlukan oleh NADMA.

Bagi kes kerosakan rumah melibatkan struktur, seperti sebahagian kediaman runtuh atau dihanyutkan arus, mangsa diminta segera membuat laporan polis dan mengemukakannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis. Kerosakan kecil kebiasaannya ditangani oleh JKM, manakala kerosakan besar atau teruk akan dirujuk oleh JKM kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tindakan sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, menegaskan bahawa MAIPs sentiasa prihatin dan bersedia membantu, terutama kes yang dirujuk secara rasmi melalui JKM.

“Untuk kes kediaman, mangsa turut disaran merujuk Amil Kariah bagi penilaian awal kerana syarat penerima bagi kerosakan rumah tertakluk kepada kelayakan asnaf.

Manakala Bantuan Sara Hidup MAIPs untuk kelangsungan hidup pula diproses seperti biasa mengikut kaedah sedia ada,” jelas beliau.

Beliau menambah bahawa MAIPs komited bekerjasama erat dengan kerajaan negeri, NADMA, JKM, APM dan semua agensi berkaitan dalam memastikan kebajikan mangsa bencana dipelihara.

Haji Mohd Nazim berkata demikian selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau operasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perlis di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kangar, baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama dua puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan baginda disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Saharuddin Saraan, serta Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud.

Dalam sesi lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda dipersembah maklum mengenai perkembangan semasa penyelarasan operasi bencana di seluruh negeri.

PKOB bertindak sebagai pusat utama mengumpul maklumat situasi, menyelaras bantuan logistik serta memastikan keperluan asas disalurkan secara cepat dan berkesan kepada mangsa.

PKOB Negeri Perlis turut bersidang dua kali sehari bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan dan semua agensi kekal berada pada tahap kesiapsiagaan optimum sepanjang tempoh banjir dan pasca banjir.

Tuanku Raja Muda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, NGO, sukarelawan serta individu yang membantu mengurus bencana, di samping merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang prihatin terhadap mangsa banjir.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.