Laporan oleh Sholina Osman dari Krabi, Thailand
26 JAN. 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ruang yang luas dapat dilihat bagi meneruskan jalinan kerjasama pelbagai bidang antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Agama Islam (MAI) Wilayah Andaman.
Baginda bertitah ia termasuk dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan institusi masjid dan surau, kebajikan Ummah, pengurusan zakat dan wakaf, latihan kepimpinan Islam, serta pertukaran kepakaran, dan juga amalan terbaik dalam pentadbiran hal ehwal Islam.
“Kerjasama yang dirancang secara berfasa dan berterusan akan membolehkan kita saling melengkapi kekuatan masing-masing, di samping menangani kekangan yang dihadapi dengan lebih berkesan,” titah Baginda sempena Majlis Sembah Mengadap Hormat Oleh Ketua-Ketua Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman, Thailand di Masjid Jamek
Krabi dan Pejabat Jawatankuasa Islam Wilayah Krabi, Thailand.
BAGINDA MENGETUAI DELEGASI
Program ini diadakan sempena Baginda mengetuai delegasi Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd. ke Wilayah Andaman Thailand di Krabi dari 23 hingga 25 Januari.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Justeru itu, Baginda bertitah pengukuhan agama Islam hendaklah sentiasa menjadi teras utama dalam setiap perancangan dan pelaksanaan.
KITA NILAI KESEDERHANAAN
“Islam mengajar kita nilai kesederhanaan, perpaduan, toleransi dan kebijaksanaan dalam menangani perbezaan,” titah Baginda.
Baginda bertitah institusi agama memikul amanah besar dalam membimbing masyarakat dengan pendekatan yang hikmah, berfakta dan berpandukan ’maqasid syariah’, agar Islam terus difahami sebagai sebuah agama suci yang membawa rahmat, kesejahteraan dan keadilan kepada seluruh umat manusia. InsyaAllah.
“Semoga mesyuarat kali ini akan menghasilkan perbincangan yang konstruktif, keputusan yang jelas serta pelan tindakan praktikal dan boleh dilaksanakan, titah Baginda.
HASIL PERTEMUAN INI
Tuanku Syed Faizuddin berharap hasil pertemuan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan berimpak yang akhirnyamemberi manfaat langsung kepada umat Islam di Perlis dan juga di Wilayah Andaman.
Sempena majlis juga diberikan sumbangan bantuan kepada empat buah Sekolah Agama di wilayah berkenaan.
Juga diadakan sumbangan buku oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)/MAIPs (Tafsir Faizuddin
Pack) dan Buku Fatwa & Khutbah. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia