Kuala Perlis — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa amalan sedekah, infaq dan apa jua bentuk sumbangan merupakan pelaburan akhirat yang membawa keberkatan, di samping mengukuhkan jaringan kebajikan dalam masyarakat.
Baginda menyeru agar usaha memupuk budaya memberi terus diperkasakan, sama ada dalam bentuk bantuan kewangan, kepakaran, masa mahupun tenaga.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menggalakkan semua pihak untuk terus mengamalkan infaq serta menyokong usaha kebajikan, dan pada masa yang sama menunaikan kewajipan membayar cukai. Kedua-dua tanggungjawab ini saling melengkapi dalam usaha memastikan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat sentiasa terpelihara.
Titah tersebut dizahirkan selepas Baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai, di sini.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Sempena majlis berkenaan, sejumlah RM210,000 telah disalurkan oleh MAIPs kepada golongan asnaf terpilih melibatkan 300 penerima, masing-masing 75 orang daripada anak kariah Seberang Ramai, Seberang Tok Pi, Padang Besar Selatan dan Behor Masjid.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia