23 Februari 2026. Paris, Perancis. Kedutaan Besar Malaysia di Paris merancang untuk membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dengan mengadakan sesi libat urus strategik bersama ejen-ejen pelancongan di Perancis bagi memperkenalkan destinasi-destinasi menarik di negeri berkenaan sebagai permata pelancongan baharu di utara tanah air di masa hadapan.
Usaha ini akan dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia yang sedang mempergiat usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penganjuran pelbagai acara berprestij di seluruh Perancis, antaranya Festival Makanan Malaysia, Malaysia Open Day, serta resepsi rasmi di hotel-hotel terkemuka yang menampilkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat negara berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia juga kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkuasa tempatan serta pempengaruh media (influencer) Perancis dalam menjayakan inisiatif diplomasi makanan. Keunikan Kurma Daging Perlis akan turut diperkenalkan.
Maklumat tersebut telah dipersembah maklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Paris.
Demikian menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Turut berangkat sama adalah anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama ialah Setiausaha Pertama, Mohd Nizam Halimi, dan Setiausaha Kedua, Aida Anum Aminuddin.
Inisiatif promosi ini dianjurkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Paris bersama-sama YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) disokong oleh Yayasan Harmoni dan Duwan Easy Eat.
Usaha bersepadu ini bertujuan memperkenalkan identiti rasa dan keistimewaan makanan tradisional Perlis kepada masyarakat antarabangsa, termasuklah di Eropah.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mempelawa warga Perancis supaya mempertimbangkan Perlis sebagai destinasi pilihan baharu kerana ia menawarkan sisi Malaysia yang berbeza, jauh daripada hiruk-pikuk pelancongan massa. Bagi mereka yang menghargai ketenangan dan keaslian alam, negeri ini menyediakan landskap desa yang mempesonakan serta aktiviti luar yang mendamaikan.
Datuk Eldeen Husaini menambah bahawa pada tahun 2025, Malaysia telah merekodkan peningkatan ketibaan pelancong dari Perancis sebanyak 40%. Pencapaian memberangsangkan ini adalah hasil usaha berterusan pihak Kedutaan Besar Malaysia bersama Pejabat Tourism Malaysia dan agensi-agensi Malaysia di Perancis serta Malaysia Airlines yang konsisten mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia