Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa gaya hidup sihat merupakan asas penting kepada kesejahteraan diri, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar.
Baginda menegaskan bahawa menjauhi najis dadah, rokok, vape serta amalan tidak sihat adalah langkah utama dalam memelihara kesihatan fizikal dan kestabilan emosi, sekali gus menyokong kecemerlangan dalam pembelajaran dan kehidupan masa hadapan.
“Golongan remaja perlu membuat pilihan yang bijak agar tubuh badan kekal sihat dan mampu menyokong pembelajaran serta kejayaan pada masa hadapan,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Padang Besar baru-baru ini.
Turut berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program berkonsepkan turun padang itu dilihat sebagai pendekatan berkesan dalam memperkukuh usaha kebajikan, khususnya bagi memastikan golongan asnaf terus disantuni secara menyeluruh.
Melalui kaedah ziarah dari rumah ke rumah, program tersebut membolehkan pihak MAIPs berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat selain memastikan agihan zakat disalurkan secara telus, tepat dan terus kepada golongan sasar.
Pendekatan itu juga mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui pendekatan inklusif, proaktif serta berteraskan nilai keprihatinan.
Bersempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Mat Isa Busu, 61, dari Kampung Titi Tinggi; Hassan Hussin, 70, dari Kampung Ulu Titi Tinggi; dan Khairi Osman, 54, dari Kampung Titi Tinggi Hilir.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban kehidupan mereka.
Dalam rangka lawatan tersebut, Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat Agro Homestay & Nursery di Kampung Titi Tinggi Hilir yang menawarkan konsep agro-pelancongan berasaskan pengalaman inap desa, termasuk aktiviti tapak semaian serta penternakan kambing, ikan dan itik.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia