Oleh: Sholina Osman
27 MEI 2026
Nilai pengorbanan yang dizahirkan menerusi sambutan Aidiladha perlu terus dihayati oleh seluruh masyarakat sebagai asas dalam membina sebuah negeri dan negara yang harmoni, bersatu padu serta saling prihatin antara satu sama lain.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian Agihan Zakat MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Madrasah Dar Al-Hadirh Kampung Padang Pauh, dekat Kangar pada petang semalam.
Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta seluruh usrah kerabat diraja menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H’ dan ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’ kepada seluruh rakyat Perlis yang dikasihi serta rakan taulan Baginda.
Turut mengiring ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Sebanyak RM52,500 telah disalurkan kepada 75 orang penerima yang terdiri daripada kalangan anak kariah Padang Pauh yang layak menerima bantuan zakat.
Program MAIPs ini merupakan antara inisiatif berterusan MAIPs dalam mendekati masyarakat serta memastikan bantuan zakat dapat disampaikan secara terus dan menyeluruh kepada golongan asnaf di seluruh negeri Perlis. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia