Perlis Perkenal 83 Gua Baharu Banjaran Nakawan, Sasar Jadi Destinasi Ekopelancongan Antarabangsa

Perlis Perkenal 83 Gua Baharu Banjaran Nakawan, Sasar Jadi Destinasi Ekopelancongan Antarabangsa

KUCHING, 29 Jun – Negeri Perlis bersedia memperkenalkan sebanyak 83 buah gua baharu yang ditemui di sepanjang Banjaran Nakawan sebagai produk ekopelancongan dan destinasi ekspedisi terbaharu yang berpotensi menarik minat pengkaji serta pencinta alam semula jadi dari seluruh dunia.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penemuan gua-gua tersebut oleh Jabatan Perhutanan Perlis membuka ruang luas kepada pembangunan aktiviti speleologi atau kajian gua yang mampu menjadikan Perlis sebagai lokasi tumpuan penyelidik dan pengembara lasak.

Menurut baginda, selain khazanah gua yang unik, Perlis turut mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai “gimnasium semula jadi” menerusi pelbagai aktiviti rekreasi dan sukan lasak bertaraf antarabangsa.

Antara tarikan utama yang berpotensi menarik perhatian pelancong ialah fenomena “awan karpet” yang dapat disaksikan pada waktu subuh di kawasan puncak Wang Kelian, selain beberapa laluan pendakian menarik yang menawarkan pengalaman alam semula jadi yang unik.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Cove 55 Hotel, Santubong, Kuching.

Keberangkatan baginda ke program anjuran hotel berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra, Yayasan Tuanku Fauziah dan Smart Leisure Travels disambut oleh Pengurus Besar hotel, Christoph Leonhard, Cef Eksekutif Mario Kesemeyer serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MyUS Group, Datuk Nellsen Young.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang berada di Kuching bagi menghadiri Rainforest World Music Festival 2026 yang berlangsung di Sarawak Cultural Village dari 26 hingga 28 Jun lalu.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Gerald Rentap Jabu bersama isteri, Datin Rosemarie Wong; Pengerusi Sarawak Tourism Board, Datuk Dennis Ngau; Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusof; serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Mu’azamir Jili.

Promosi berkenaan mengetengahkan pelbagai hidangan tradisional Perlis termasuk Kurma Daging Perlis yang menjadi sajian istimewa berasaskan resipi warisan turun-temurun dengan gabungan rempah ratus terpilih.

Program tersebut diadakan bersempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan antara rakyat Perlis dan Sarawak serta mempromosikan warisan budaya, pelancongan dan gastronomi negara.

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.