SHAH ALAM, 17 Oktober- Seramai 20 pelajar daripada keluarga asnaf di Perlis berjaya menamatkan program Zero To Hero anjuran The Welding Institute (TWI) di sini selepas mengikuti latihan intensif selama empat bulan bermula akhir Jun lalu.
Kesemua peserta menerima tajaan penuh daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM).
Pengarah TWI Technology South East Asia (SEA), Fauzi Mohd Kassim berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama bersama MAIPs bagi memperkasa ekonomi golongan asnaf dan B40 melalui latihan kemahiran dan penempatan kerja sebagai langkah pencegahan kemiskinan jangka panjang.
Menurutnya, sejak program itu dimulakan pada 2018, seramai 300 peserta asnaf dari Perlis telah menamatkan latihan di TWI dan kini berkhidmat di pelbagai syarikat dalam serta luar negara.
“Kita berharap apabila anak-anak asnaf ini sudah bekerja, mereka pula akan menjadi penyumbang kepada dana zakat negeri. Jika sebelum ini mereka penerima bantuan, selepas ini mereka boleh menjadi penyumbang utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Zero To Hero di Kelab Shah Alam di sini yang diadakan bagi meraikan kejayaan kumpulan peserta terkini yang menamatkan latihan serta menerima sijil pentauliahan.
TWI merupakan institusi latihan teknikal antarabangsa yang diiktiraf dalam bidang kimpalan, pemeriksaan kejuruteraan dan teknologi pembuatan, manakala program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Joggers Perlis bagi mendapatkan peserta dalam kalangan asnaf.
Tarikh kemaskini: 10/17/2025