GENEVA, 31 Ogos 2025 – Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva akan menganjurkan majlis resepsi sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 pada 19 September depan di pejabat World International Property Organisation (WIPO), Geneva.
Majlis tersebut dijangka menghimpunkan lebih 200 tetamu merangkumi diplomat asing, ketua pertubuhan antarabangsa, pemimpin masyarakat sivil serta warga diaspora Malaysia.
Bersempena bulan kemerdekaan ini juga, Pejabat Perutusan Tetap Malaysia di Geneva telah mengadakan majlis doa selamat pada 28 Ogos lalu bersama warga pejabat yang beragama Islam sebagai tanda kesyukuran dan doa kesejahteraan negara.
Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, makluman mengenai penganjuran majlis tersebut telah dipersembahkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Datuk Nadzirah Osman, kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas menerima koleksi bendera Jalur Gemilang daripada YTSP sempena keberangkatan khas baginda ke Geneva.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.
Datuk Nadzirah turut memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Berne, ibu negara Switzerland, turut menganjurkan Majlis Merdeka Hi-Tea bersama rakyat Malaysia pada 29 Ogos lalu sebagai usaha mempererat hubungan sesama warga di perantauan.
Beliau menegaskan warga Malaysia di luar negara wajar terus memelihara semangat patriotisme dan mengekalkan identiti sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan negara.