Terus perkukuh ikatan kemasyarakatan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
29 OGOS 2025

Sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-68 negara tahun ini, nilai saling percaya, hormat-menghormati dan tolong-menolong mesti terus menjadi tonggak utama yang mengukuhkan ikatan kemasyarakatan seluruh umat negeri Perlis.

Kehidupan bermasyarakat di negeri ini hendaklah kekal utuh, mewujudkan persekitaran yang mesra, selamat dan penuh rasa kebersamaan.

Demikian menurut kenyataan MAIPs, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengetuai program ‘Kayuhan Jalur Gemilang 2025’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Padang Siding, Pauh baru-baru ini.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

WADAH MENYANTUNI RAKYAT

Program kayuhan amal yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli’ ini bukan sahaja menjadi wadah menyantuni rakyat serta meringankan beban mereka yang memerlukan, malah turut memperkukuhkan nilai ukhuwah, semangat keprihatinan dan budaya saling membantu dalam kalangan umat Perlis, khususnya golongan asnaf.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mahu umat negeri ini menyeimbangkan antara tuntutan pekerjaan dan kehidupan peribadi.

Dari sudut pekerjaan, keseimbangan tahap produktiviti kerja yang efisyen serta produktif dan kehidupan menjadi keutamaan. Waktu pejabat yang teratur serta jarak tempat kerja yang dekat dengan kediaman seharusnya memberi ruang yang cukup kepada umatnya untuk mempunyai lebih masa berkualiti bersama keluarga, selain terlibat dalam aktiviti riadah dan kemasyarakatan.

Umat Perlis juga perlu berusaha mencari masa memanfaatkan pusat-pusat rekreasi, taman awam serta kemudahan sukan sedia ada supaya menjadi pilihan bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.

SEDERHANA DAN HARMONI

Amalan hidup sederhana dan harmoni terus dipelihara sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih pada kali ini, iaitu Zulkhibri Musa, 48, dari Kampung Padang Siding, Che Yah Mat Saman, 82, dari Kampung Padang Ringan serta Timah Saad, 81, dari Kampung Rambai.

Setiap penerima asnaf menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, bersama Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah sebagai tanda keprihatinan serta sokongan berterusan pihak MAIPs. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.