4 Oktober 2025 | Kuala Lumpur
Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis, muncul juara Pertandingan Bola Sepak Piala Syed Putra 2025 selepas menewaskan 2 RRD dengan keputusan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang sengit di Stadium Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Jalan Padang Tembak, baru-baru ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja (RRD), berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir berkenaan dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi RRD, Brigedier Jeneral Shamsor Hj. Jaafar.
Kemenangan itu menyaksikan 4 RRD menjulang trofi kejuaraan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pasukan bola sepak terbaik dalam Rejimen Renjer Diraja.
Sempena kejohanan tersebut, Koperal Hamizan Syukri dari 9 RRD diumumkan sebagai Penjaring Gol Terbanyak, manakala Lans Koperal Zulpian Anduru dari 2 RRD dinobatkan sebagai Pemain Terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.
Piala Syed Putra merupakan acara tahunan Rejimen Renjer Diraja yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan anggota untuk diketengahkan ke peringkat Tentera Darat Malaysia, di samping memperkukuh semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan jalinan ukhuwah dalam kalangan warga rejimen infantri tersebut.