angar, 5 Februari 2026 — Sebanyak 47 pasukan melibatkan 564 orang pemain mengambil bahagian dalam Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Piala Presiden 2025 yang berlangsung di negeri Perlis, sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan woodball di peringkat negeri.
Bagi kategori Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2025, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul sebagai johan, diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Arau selaku naib johan. Kolej Matrikulasi Perlis menduduki tempat ketiga, manakala Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis berada di kedudukan keempat.
Sementara itu, dalam saingan Piala Presiden 2025, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dinobatkan sebagai johan, diikuti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis selaku naib johan. Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis meraih tempat ketiga, manakala Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Perlis menamatkan kejohanan di tempat keempat.
Kejohanan ini menghimpunkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, jabatan dan agensi kerajaan serta badan sukan di seluruh Perlis, sekali gus berfungsi sebagai platform pembangunan bakat, pengukuhan jaringan kerjasama serta pemerkasaan sukan woodball di peringkat akar umbi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan yang berlangsung di Laman Woodball Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar. Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.
Pada majlis tersebut, Tuanku Raja Muda menzahirkan ucapan tahniah kepada 14 orang atlet dan tiga pegawai Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) atas kejayaan mengharumkan nama negara di Sukan SEA di Thailand, apabila berjaya meraih empat pingat gangsa.
Baginda bertitah bahawa pencapaian membanggakan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan atlet Perlis untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda agar terus berusaha, berdisiplin dan komited dalam mengejar kecemerlangan sukan.
Seiring kejayaan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra mencadangkan agar Kejohanan Liga Woodball 2026 Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Piala Presiden dilaksanakan lebih awal, bermula April hingga November 2026. Pelaksanaan yang lebih tersusun ini diyakini dapat memperkukuh persiapan atlet dan penganjur, khususnya menjelang Kejohanan Piala Dunia Woodball (WCWC) ke-10 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 31 Julai 2026 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP Kampus Alam Pauh Putra.
Baginda turut menyatakan keyakinan bahawa kejohanan bertaraf dunia itu mampu dianjurkan dengan cemerlang, sekali gus memartabatkan Perlis sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa.
Selain itu, Tuanku Raja Muda berharap agar lebih banyak jabatan, agensi kerajaan dan sektor swasta tampil menyertai kejohanan musim 2026. Penyertaan menyeluruh ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Perlis, malah berperanan sebagai platform penting melahirkan atlet woodball berkualiti, berdaya saing dan berpotensi tinggi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang.
Secara keseluruhan, penganjuran kejohanan ini mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pembangunan sukan negeri, khususnya dalam melahirkan atlet berdaya saing serta memupuk budaya kesukanan dalam kalangan belia. Di samping mencungkil bakat baharu, kejohanan ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara institusi, persatuan dan agensi berkaitan dalam usaha memartabatkan woodball sebagai salah satu cabang sukan kompetitif di Malaysia.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia