Georgetown, Pulau Pinang | 14 Ogos 2025
Enam pelajar tingkatan dua dari Perlis kini menempuh tahun kedua pengajian di Penang Free School (PFS) bagi sesi persekolahan 2025, di bawah program biasiswa Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bernilai RM72,000 sepanjang tempoh lima tahun persekolahan mereka.
Program yang bermula sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima itu merupakan inisiatif terbaharu YTSP Perlis, memberi peluang kepada anak jati negeri menimba ilmu di sekolah Inggeris tertua di Malaysia sambil menikmati pendedahan sosial berbeza bagi memperkukuh jati diri dan sahsiah pelajar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyantuni keenam-enam pelajar tersebut sempena Majlis Santapan Tengah Hari lawatan peserta Bengkel Jati Diri Yang Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik serta Pengawas Terpilih Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perlis ke PFS, Jalan Masjid Negeri, Georgetown.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. Program ini dianjurkan YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Majlis turut menyaksikan keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen melancarkan secara simbolik ‘Perlis Food Promotion’ menerusi hidangan tradisi Kurma Daging Perlis. Promosi ini diadakan sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024–2025, yang disambung sehingga penghujung 2026 bagi diselaraskan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.