Kangar, 6 Ogos 2020. Sebanyak 1,614 haiwan korban dengan berat sebanyak 69 tan telah dilaksanakan di Perlis sepanjang perayaan Aidiladha baru-baru ini.
Demikian taklimat yang dipersembah maklum oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis, Dr. Zulkifli Ahmad dan timbalan beliau, Dr. Adil Ibrahim ketika menerima keberangkatan lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed faizuddin Putra jamalullail ke Kompleks Abatoir Jejawi dekat sini.
Keberangkatan Baginda diiringi Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Tuan Nasaruddin Abdul Mutalib dan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari a/l Kiew.
Kompleks Abatoir Jejawi Perlis ditubuhkan pada tahun 1990 yang merupakan pusat abatoir ruminan kategori 4 dengan kapasiti maksimum 20 ekor sembelihan setiap hari. Sebuah lagi yang beroperasi di Perlis adalah milik swasta yang terletak di Kampung Ngulang.
Di kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut dibawa melawat menyaksikan kemudahan dan kelengkapan kompleks berkenaan.
Menurut Zulkifli, selain memberikan perkhidmatan sembelihan komprehensif dengan kemudahan yang moden, pusat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan daging sebelum dibenarkan dan diluluskan untuk jualan kepada orang awam di pasar-pasar awam seluruh Perlis.
Untuk rekod, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), telah mengeluarkan kebenaran pelaksanaan ibadah korban dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025