Oleh: Sholina Osman
4 DIS. 2025
Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Perlis, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Cawangan Perlis, THB Maintenance Berhad, Senggara Utara Sdn. Bhd. (SUSB), rakan-rakan Kontraktor Kecil dan Sederhana (KKR) serta Masjid Al-Abrar, telah menganjurkan Program CSR Pasca Banjir, dan Bantuan Asnaf bertempat di Kampung Kubang Gajah.
Program ini dilaksanakan sebagai usaha menyantuni masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir, selain memperkukuh solidariti serta jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat, NGO dan komuniti setempat.
Tujuan utama penganjuran program adalah untuk membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan akibat hujan lebat berterusan.
KERJA-KERJA PEMBERSIHAN
Pada sesi pagi, sukarelawan PKMM Perlis dan PKK Cawangan Perlis bersama penduduk setempat bergotong-royong melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa, membersihkan kawasan persekitaran serta melakukan pembaikan kecil bagi memulihkan kerosakan yang dialami.
Program ini turut memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan asnaf melalui inisiatif MAIPs serta sumbangan zakat daripada rakan industri seperti THB Maintenance Berhad dan Senggara Utara Sdn. Bhd.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Intan Sharizat Muhamad Nasir, Pengarah di Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Cawangan Perlis kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Program MAIPs Peduli khas bagi menyalurkan bantuan, menyantuni mangsa banjir serta meninjau situasi pasca bencana bersempena program CSR berkenaan.
TIGA ASNAF TERPILIH
Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga asnaf terpilih dari Kampung Kubang Gajah, iaitu Adziyah Hashim, 76, Fatimah Napiah, 74 dan Alam Ahmad, 64.
Pelaksanaan program ini memberi impak yang amat signifikan, termasuk meringankan beban mangsa banjir melalui penyediaan sokongan logistik, bantuan tenaga kerja serta penglibatan aktif komuniti setempat.
Program ini juga berjaya memperkukuh kerjasama strategik antara PKMM Perlis, PKK, MAIPs, THB, SUSB dan rakan-rakan kontraktor.
MENCERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN
Selain itu, ia turut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs terhadap agenda kebajikan negeri, manakala kehadiran Tuanku Raja Muda Perlis menyuntik semangat dan motivasi kepada mangsa yang terkesan. Inisiatif ini sekali lagi menzahirkan keprihatinan tinggi Institusi Diraja Perlis terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan asnaf dan mangsa banjir.
Program CSR ini bukan sahaja menyerlahkan nilai kesukarelawanan, malah membuktikan kesungguhan pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara pasca bencana.
PKMM Perlis bersama rakan-rakan strategik kekal komited untuk terus bersama masyarakat dalam usaha pemulihan, bantuan dan pembangunan kebajikan di negeri Perlis. – JM