Oleh: Sholina Osman
25 OKT. 2025
Kita sedang hidup dalam era teknologi yang serba pantas. Kecerdasan Buatan (AI) bukan sekadar alat, malah ia mampu menjadi peluang besar untuk memperkasa umat Islam, menyebarkan dakwah, menambah ilmu, serta membina kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Gunakanlah teknologi dengan penuh bijaksana, jadilah generasi yang menguasainya demi kebaikan agama, bangsa, negeri dan juga negara.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Titi Tok Bandar bagi meninjau ‘Bilik Smart Nexus’ serta melawat ‘Makmal AI Robotik’ sekolah berkenaan.
PELAKSANAAN INISIATIF PENDIDIKAN
Baginda turut dipersembahkan taklimat ringkas berhubung pelaksanaan inisiatif pendidikan digital di sekolah tersebut, yang selaras dengan usaha memperkasa kemahiran teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar.
Keberangkatan Tuanku Raja Muda ialah bersempena program MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kota Kayang, dekat Kuala Perlis.
Kayuhan amal ini merupakan inisiatif berterusan MAIPs yang diadakan secara berkala di pelbagai lokasi sekitar negeri Perlis. Ia bertujuan utama untuk menyantuni golongan asnaf, menyalurkan bantuan zakat serta mendekati masyarakat melalui pendekatan mesra rakyat.
PLATFORM MENYEBARKAN MESEJ
Setiap siri Kayuhan MAIPs Peduli bukan sahaja menjadi wadah menyampaikan sumbangan dan meninjau kehidupan penerima zakat, malah turut berperanan sebagai platform menyebarkan mesej keprihatinan, perpaduan, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Sempena program kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih, iaitu Kepli Ahmad, 60 dari Kampung Tok Kuning, Zaini Talib, 71 dari Kampung Tebing Tinggi, dan Abu Hassan Saad, 68 dari Kampung Desa Permai Tok Kuning.
Setiap mereka menerima sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bersama Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah, daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap mereka yang memerlukan.
Di akhir program Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa meninjau persiapan akhir bangunan Rumah Hijau di perkarangan Muzium Kota Kayang yang bakal dirasmikan pembukaannya kepada orang ramai oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 1 November 2025 yang akan datang ini. Rumah bersejarah tersebut ialah di mana Tuanku Syed Sirajuddin diputerakan. – JM