KUALA LUMPUR 20 Jan. – Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah mengambil inisiatif melancarkan kempen kutipan dana khas bagi pembelian sebuah bas serta penambahbaikan kemudahan di kampus UiTM Perlis.
Sumbangan ini bakal dimanfaatkan oleh UiTM Cawangan Perlis untuk menyokong keperluan mobiliti pelajar dan staf, selain memperkukuh pelaksanaan aktiviti akademik serta kokurikulum.
Inisiatif bererti ini mencerminkan keprihatinan serta sumbangan signifikan alumni dalam memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara. Ia juga merupakan bukti komitmen berterusan Alumni UiTM Perlis dalam menyokong pembangunan kampus, kesejahteraan warga universiti, serta memperkukuh hubungan strategik antara alumni, institusi dan masyarakat.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan Upacara Penanaman Pokok Harumanis Perlis di plot ‘Sungai Angkat’ Kebun Bandar Sungai Bunus (KBSB), Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.
Program tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti bersempena dengan Kayuhan Berbasikal bersama Tuanku Raja Muda Perlis anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus di Kuala Lumpur dan TTG KL.
Baginda meluangkan masa melihat sendiri aktiviti perkebunan di bawah kelolaan pemegang taruh kebun bandar berkenaan yang turut mendapat kerjasama warga Persekutuan Pengakap Malaysia WP Kuala Lumpur (PPMWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut mengiringi Baginda ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil, Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Nizan Mat Noor, dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia