ANAK-ANAK PERLIS DISARAN REBUT PELUANG ILMU DAN KEMAHIRAN – RAJA MUDA

KANGAR, 25 Ogos 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyeru agar anak-anak negeri ini memanfaatkan setiap peluang yang tersedia bagi mencabar diri serta menggilap potensi, khususnya melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang disediakan pelbagai pihak.
Baginda menegaskan usia muda merupakan tempoh paling berharga untuk dipenuhi dengan ilmu, pengalaman serta pembangunan sahsiah kerana generasi hari ini kelak akan memikul tanggungjawab berkeluarga dan meneruskan legasi negeri tercinta.
“Gunakanlah segala peluang yang ada untuk menyiapkan diri menghadapi masa depan. Beta ingin melihat umat Perlis menjadi masyarakat yang berdaya saing, bermotivasi tinggi dan dihormati di mana sahaja mereka berada,” titah Baginda.
Seiring dengan titah tersebut, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui anak syarikatnya, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM) hari ini menganjurkan Majlis Pelepasan Pelajar Tajaan MAIPs ke Walta Centre of Excellence (WCoE) bertempat di Dewan Kuliyyah MAIPs, Kangar.
Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang menegaskan usaha itu membuktikan komitmen MAIPs dalam menyahut titah Tuanku Raja Muda untuk melahirkan generasi berilmu dan kompetitif.
“MAIPs sentiasa berpegang bahawa pelaburan paling berharga ialah dalam bentuk pendidikan, kemahiran dan pembangunan modal insan. Inilah cara terbaik membina masa depan lebih cerah buat anak-anak Perlis, khususnya dalam kalangan asnaf,” katanya.
Turut hadir Pengurus Besar ATAM, Muhammad Farid Abdul Rahim.
Majlis pelepasan itu selari dengan hasrat Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs agar umat negeri ini tampil sebagai masyarakat bermotivasi serta dihormati di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dengan sokongan padu MAIPs serta rakan strategiknya, para pelajar diharap bukan sahaja berjaya dalam bidang masing-masing, malah menjadi ejen pembaharuan yang membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri Perlis keseluruhannya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content